Hari Jururawat Sedunia tahun ini pasti sukar dilupakan kerana ia disambut di kala wabak COVID-19 sedang mengganas. Wira tidak didendang ini bukan sahaja terpaksa mengorbankan masa dan nyawa, tetapi turut meninggalkan anak dan keluarga demi keselamatan negara.
Walaupun tiada sambutan khusus dilakukan, pastinya negara amat menghargai jasa serta bakti yang ditabur oleh mereka.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah sendiri telah berdiri dan menepuk tangan sebagai tanda penghargaan buat para jururawat semasa sidang DUN Perak, semalam.
Dalam nada sebak, baginda kemudiannya berdiri sambil menyeru kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak yang bersidang di Bangunan Perak Darul Ridzuan supaya berdiri seketika sambil memberi tepukan tangan kepada kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) serta agensi yang turut sama berperanan sebagai petugas barisan hadapan.
Video tersebut tular di Twitter dengan memperlihatkan baginda bertitah sebelum berdiri menghargai segala penat lelah frontliners ketika ini serta menyeru dewan parlimen sama-sama berdiri memberikan penghargaan buat jururawat.
"Kepada petugas yang membuktikan semangat kerja dan pengorbanan yang tinggi atas nama negara demi kepentingan negara. Sebagai penghargaan, marilah kita sama-sama berdiri untuk berikan tepukan kepada wira-wira negara."
Kredit foto: Bernama
Daulat Tuanku! - CARI
|