KUALA LUMPUR: Lima individu, termasuk seorang pelajar kolej swasta ditahan susulan penemuan dadah disyaki ganja dalam bungkusan roti canai dibawa penghantar makanan pada Isnin.
Ketua Polis Gombak, Arifai Tarawe berkata 3 lelaki dan 2 wanita itu ditahan dalam operasi lebih 5 jam bermula 8.30 malam di Setiawangsa dan Bangsar.
Katanya, pelajar kolej swasta berusia 19 tahun yang memesan bungkusan makanan itu ditahan di Setiawangsa dan didapati positif dadah.
“Dua lagi lelaki ditahan di sebuah rumah di Bangsar kerana disyaki membekalkan bungkusan makanan berisi dadah kepada pelajar itu.
“Turut ditahan dalam operasi itu adalah 2 wanita berusia 63 dan 70 tahun yang berada dalam rumah itu untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Arifai berkata, pihaknya turut menemui satu ketulan mampat dan beberapa paket plastik kecil berisi dadah disyaki ganja di rumah suspek di Bangsar.
“Siasatan lanjut berhubung kes ini sedang dilakukan,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Semalam, media melaporkan seorang penghantar makanan membuat laporan polis selepas menemui 2 paket disyaki ganja dalam bungkusan makanan pelanggannya pada Isnin lalu.
Lelaki berusia 31 tahun itu menerima pesanan untuk menghantar satu bungkusan barang dari Petaling Jaya ke Setapak.