Bagi mereka yang tinggal di bandar namun pulang ke kampung ketika cuti sekolah baru-baru ini diminta untuk terus kekal di kampung.
Ia sebagai antara langkah bagi membendung penularan Covid-19 di negara ini.
Hal tersebut dijelaskan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob yang berkata, terdapat trend rakyat yang pulang ke kampung sebelum ini mahu kembali ke bandar pula.
Susulan itu, polis mengadakan sekatan jalan raya di 23 plaza tol di seluruh negara, Harian Metro melaporkan.
Kredit foto: Harian Metro
“Pematuhan rakyat terhadap Perintah Kawalan Pergerakan kini meningkat kepada 95 peratus tetapi terdapat trend rakyat yang pulang ke kampung sebelum ini ingin kembali ke bandar besar pula.
“Kesesakan di bandar ketika ini semakin berkurang dan jalan raya semakin lengang dengan kadar pematuhan tinggi hasil kerjasama bersepadu dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Rela dan pihak berkuasa tempatan.
“Namun sudah ada menunjukkan trend rakyat yang pulang ke kampung sebelum ini ingin kembali pulang ke bandar besar untuk kembali bekerja. Saya harap ia tidak dilakukan sama sekali. Terus tinggal di kampung halaman masing-masing,” katanya.
Bagi mereka yang gagal mematuhi arahan, tindakan undang-undang akan diambil.
“Pihak polis mungkin akan mengubah cara mereka bukan setakat nasihat tetapi tindakan undang-undang juga akan diambil kepada mereka yang menghalang penjawat awam dan juga masih berdegil dan gagal mematuhi arahan atau nasihat yang dikeluarkan pihak polis,” katanya.- CARI |