|
SUNGAI BULOH: Sekumpulan lima lelaki dan seorang wanita disyaki geng ‘Banker Suria’ aktif dalam kegiatan jenayah samun ke atas mangsa yang membuat pengeluaran wang dalam jumlah yang banyak di bank berjaya ditumpaskan dalam lima serbuan berasingan sejak 4 Februari lalu.
Kelima-lima suspek terdiri daripada empat lelaki Indonesia dengan dua daripada mereka adalah pemastautin tetap, lelaki tempatan dan seorang wanita Indonesia berusia antara 34 hingga 54 tahun ditahan dalam serbuan di Batu Caves, Kampung Sungai Chincin, Kampung Sungai Choh, Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Taman Melawati, dan stesen minyak di Batu 5, Jalan Gombak.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar, berkata ahli kumpulan didalangi lelaki Indonesia berusia 54 tahun yang mendapat permastautin tetap itu dipercayai turut terbabit dalam kes samun seorang wanita berusia 41 tahun yang baru mengeluarkan wang sebanyak RM69,700, pada 8 Januari lalu.
“Dalam kejadian ini mangsa yang baru mengeluarkan wang dari sebuah bank di Bandar Baru Sungai Buloh, diekori suspek sebelum kereta dipandunya dihalang secara tiba-tiba oleh sebuah kereta Perodua Bezza di hadapan sebuah kilang di Jalan Utarid U5/14 Seksyen U5, Shah Alam.
“Sebaik menghalang kereta mangsa, suspek yang menaiki Perodua Bezza bertindak memecahkan cermin sebelah penumpang hadapan untuk mengambil beg mengandungi wang tunai namun mangsa melawan dan mengigit tangannya sehingga suspek terpaksa mengacukan parang dan merampas beg sebelum melarikan diri,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh, hari ini.
“Modus operandi kumpulan ini adalah menempatkan seorang dari mereka untuk berpura-pura membuat urusan dalam sesebuah bank bagi mencari mangsa atau sasaran yang membuat pengeluaran wang yang banyak sebelum bertindak mengekorinya,” katanya.
Katanya selain menahan kumpulan suspek yang aktif sejak tahun 2015 ini sebelum berhenti dan kembali melakukan samun sejak tahun lalu, polis percaya dapat menyelesaikan empat kes dipercayai dilakukan mereka di sekitar Lembah Klang, membabitkan kerugian sebanyak RM154,700.
Polis juga turut merampas telefon bimbit, beg, dua teksi, kereta Perodua Bezza yang disewa, parang dan barangan lain.
Kesemua suspek direman sehingga 17 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Kesemua suspek direman sehingga 17 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Katanya, salah seorang suspek yang ditahan itu adalah lelaki yang ditembak di bahagian kaki oleh anggota polis di Batu 5, Gombak. |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|