Kredit foto: Utusan Online
Penerbitan akhbar Utusan Malaysia yang dihentikan sementara sejak 31 Oktober tahun lalu dijangka akan diteruskan semula pada awal Mei 2020.
Memetik laporan portal Suara Merdeka, akhbar bahasa Melayu tertua di Malaysia itu tidak lagi diterbitkan oleh Utusan Melayu (Malaysia) Berhad.
Sebaliknya, Utusan Malaysia yang 'dihidupkan semula' itu bakal diterbitkan Media Mulia Sdn. Bhd. yang dikatakan mempunyai kaitan dengan tokoh korporat, Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary.
Seperti diperjelaskan sumber kepada Suara Merdeka, akhbar tersebut akan beroperasi di bawah bumbung yang sama dengan Berita Harian, Harian Metro dan New Straits Times di Balai Berita New Straits Times Press (NSTP) di Jalan Riong, Bangsar.
"Sebuah ruang tingkat dua bangunan itu digunakan kumpulan editorial akhbar berkenaan sebagai pejabat.
"Namun, ruang berkenaan hanya boleh digunakan apabila selesai melalui proses pengubahsuaian yang dijangka bermula selepas sambutan Tahun Baharu Cina," katanya.
Pejabat baharu Utusan Malaysia dikatakan bakal beroperasi di bangunan ini.
Kredit foto: NST
Operasi Utusan Malaysia yang baharu juga akan dikendalikan dua bekas Pengarang Kanan dan seorang bekas Pengarang Berita Utusan Malaysia.
Pengarang yang bakal mengetuai Utusan Malaysia akan memilih sendiri calon-calon untuk mengisi jawatan Pengarang Berita dan Penolong Pengarang Berita, manakala jawatan wartawan dibuka kepada umum.
Sumber itu turut menjelaskan bahawa pengurusan baharu Utusan Malaysia hanya menumpukan kepada edisi cetak sahaja dan tidak merancang untuk menyambung semula operasi Utusan Online dalam masa terdekat.
Nasib Utusan Online masih menjadi tanda tanya.
Kredit foto: Utusan Online
Cuma timbul satu persoalan, adakah Utusan Malaysia yang diberi nafas baharu akan meneruskan dasar menjadi lidah rasmi parti politik tertentu atau dijenamakan semula sebagai akhbar berpendirian berkecuali? - CARI |