Kredit foto: Twitter
Seorang wartawan Britain, Katie Morley menerima kecaman hebat daripada netizen Malaysia gara-gara keceluparannya 'menghina' nasi lemak yang dianggap sebagai makanan kebangsaan negara ini.
Dalam laman Twitter miliknya pada 15 Januari lalu, Katie memberi markah 0 daripada 10 terhadap nasi lemak yang dihidangkan oleh British Airways.
"Demi kepentingan awam, saya kongsikan makanan teruk yang dihidangkan oleh British Airways kepada saya dalam penerbangan selama 13 jam.
"Lihatlah: kari ayam dihidangkan bersama telur rebus anemia, dengan ikan bilis busuk di atasnya. IKAN BILIS. Saya biasanya suka makanan dalam penerbangan, dan markah untuk makanan ini adalah 0/10," katanya.
">
Sudah tentu netizen Malaysia tidak berpuas hati dengan tindakan Katie memburuk-burukkan nasi lemak yang mereka sangat gemari itu.
Boleh dikatakan, mereka menganggap ulasan yang teruk terhadap nasi lemak itu seolah-olah sebagai penghinaan terhadap negara.
Kredit foto: Twitter
Kredit foto: Twitter
Setelah menyedari kesilapannya, Katie memohon maaf melalui Twitter pada 16 Januari:
"Ramai rakyat Malaysia memberi maklum balas untuk memberitahu bahawa makanan yang saya 'tweet' semalam adalah makanan kebangsaan yang popular.
"Saya tidak mengetahuinya sebelum ini dan tidak bermaksud untuk menyinggung sensitiviti sesiapa.
"Seperti yang dijelaskan oleh ramai pihak, secara terang-terangan saya telah dihidangkan versi (nasi lemak) yang sangat teruk oleh BA.
"Saya pasti ia enak dan berharap untuk mencuba nasi lemak yang sebenar satu hari nanti!" jelasnya.
Kredit foto: Twitter
Tweet Katie itu turut dijawab oleh Darren Cronian, lelaki Britain menjadi popular kerana sanggup terbang sejauh 9,600 kilometer ke Kuala Lumpur semata-mata untuk memakan nasi lemak yang sebenar.
"Katie, rakyat Malaysia sememangnya ghairah tentang makanan tempatan (di sana)," katanya.
Harap 'bawang rangers Malaysia' bawa bertenang sebab Katie sudah pun menyedarinya kesilapannya dan mungkin nasi lemak yang dihidangkan British Airways itu tidak setanding dengan apa yang ada di negara kita. - CARI |