Jururawat di sebuah klinik pergigian swasta berdepan detik cemas apabila klinik berkenaan didatangi lima individu berparang.
Menurut Sinar Harian, kejadian berlaku sekitar jam 5.30 petang pada Jumaat lalu ketika mangsa sedang bekerja.
Berikutan kejadian, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman mengesahkan pihaknya menahan lima suspek termasuk seorang wanita, semalam di sebuah rumah sekitar Taman Sentosa Klang, kira-kira jam 7 malam kelmarin.
Risikin (kanan) menunjukkan gambar barangan yang dirampas
Kredit foto: Sinar
Polis turut merampas beberapa barangan seperti parang, pisau, komputer riba, telefon bimbit dan peralatan dipercayai digunakan untuk memecah kedai.
"Kelima-lima suspek berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah dan dadah.
"Hasil soal siasat mendapati suspek turut mengaku terlibat dalam kejadian itu," katanya.
Kesemua suspek direman sehingga 14 Januari untuk membantu siasatan.
Dalam kejadian, suspek melarikan barangan mangsa dan juga hak milik klinik, namun jururawat berkenaan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Soal siasat diteruskan bagi mengesan saki-baki suspek dan barangan rompakan," katanya. - CARI |