Wan Saiful Wan Jan menunjukkan buku manifesto Pakatan Harapan yang turut mengandungi janji mengenai PTPTN. Kredit foto: 1Media.My
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal menunaikan janji berhubung skim pinjaman pelajaran itu.
Memetik penjelasan beliau dalam program 'Bicara Politikonomi' terbitan RTM yang turut disiarkan melalui YouTube pada 25 Disember, tiga daripada empat janji berkaitan PTPTN dalam Buku Harapan telah ditunaikan oleh kerajaan.
Kata Wan Saiful, janji pertama yang ditunaikan adalah pelupusan pinjaman untuk pelajar cemerlang dari keluarga B40 dan M40 manakala janji kedua adalah menarik balik sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam-peminjam yang ingkar.
"Janji ketiga ialah anak muda yang tidak mampu bayar, majikannya diberi insentif untuk bantu bayar dan ini juga telah dilaksanakan bermula tahun ini.
"Majikan yang membantu bayar balik pinjaman pekerja mereka akan diberi pelepasan cukai," katanya.
Beliau mengakui cuma satu janji yang belum ditunaikan oleh kerajaan PH iaitu menangguhkan bayaran balik pinjaman kepada mereka yang menerima gaji di bawah RM4,000 sebulan.
Seperti yang dijelaskan oleh Wan Saiful, perkara tersebut sedang diusahakan oleh PTPTN dan akan mengambil masa untuk dilaksanakan.
Salah satu aktiviti promosi PTPTN (gambar hiasan). Kredit foto: Facebook
Secara keseluruhan, beliau berpuas hati kerana tiga daripada empat janji mengenai PTPTN telah ditunaikan sejak kerajaan PH memerintah.
"Kira-kira 75 peratus dan ini merupakan satu pencapaian yang boleh dibanggakan oleh pegawai-pegawai kita," jelasnya.
Bagaimana pula dengan rakyat khususnya peminjam-peminjam PTPTN, adakah mereka berpuas hati dengan pencapaian itu? - CARI |