"Demi kelangsungan hidup bekas pekerja Utusan setelah tiga bulan tidak mendapat gaji."
Demikian kenyataan seorang pengguna Twitter bernama Asrul Muzaffar mengenai Jualan Murah Sempena Penutupan Gudang Utusan yang bermula 2 Disember hingga 31 Disember 2019 di Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, Taman Shamelin Perkasa, Cheras, Kuala Lumpur.
Melalui ciapannya juga, Asrul berharap selain orang ramai, pihak kerajaan terutama sekali Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa boleh membeli buku-buku yang dilelong untuk disedekahkan kepada rumah kebajikan, sekolah-sekolah dan pusat tahfiz.
Melalui gambar-gambar yang dikongsi oleh salah seorang 'personal shopper' (pembeli peribadi) bernama Miss Emptor, didapati buku-buku yang dijual masih dalam keadaan baru, dalam pelbagai genre dan sangat murah-sehingga ada yang dijual pada harga 50 sen sahaja.
Miss Emptor yang telah ke sini turut berkongsi sedikit tips sekiranya anda berminat untuk memeriahkan lagi jualan penutupan gudang ini. Antaranya, anda dinasihatkan untuk membawa topeng muka kerana keadaan gudang yang berdebu dan panas serta bawa kerusi untuk orang tua dan bawa beg beroda sekiranya ingin membeli buku dalam jumlah yang banyak.
Dengan sokongan orang ramai, diharapkan dapat membantu meringankan sedikit beban kesulitan bekas pekerja-pekerja Utusan yang terkesan akibat penutupan syarikat akhbar tertua Malaysia itu. |