|
Pelakon Sharifah Amani binti Syed Zainal Rashid Al-Yahya, atau lebih dikenali sebagai Amani sememangnya terkenal dengan kelantangannya bersuara.
Terbaru, Amani ketika ditanya oleh Berita Harian dilihat kurang bersetuju dengan saranan Ketua Pegawai Operasi, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) iaitu Ahmad Idham Ahmad Nadzri untuk mengawal selia kandungan digital, termasuk Netflix.
Ujar Amani, sebagai orang yang sudah lama berada dalam industri perfileman, Ahmad Idham sepatutnya lebih fokus kepada masalah dalam industri perfileman negara yang lebih butuhkan perhatian.
"Letihlah. Banyak lagi masalah industri perfileman yg perlu diberi perhatian dan dicari jalan penyelesaian," ujar Amani memetik daripada laporan Berita Harian.
"Netflix sudah mempunyai tetapan untuk mengawal sendiri isi kandungan yang mahu ditonton. Jadi, kita mempunyai kuasa memilih program yang bersesuaian untuk tontonan."
Tambah pelakon yang terkenal dengan watak Orked itu, segalanya bergantung kepada individu itu sendiri untuk memilih filem yang mahu ditonton dan masih banyak platform penstriman yang lain yang mungkin lebih sesuai untuk tontonan sekiranya merasa tidak selesa dengan Netflix.
Bagi Amani sebaiknya FINAS menumpukan perhatian pada masalah industri yang berkaitan dengan royalti, bajet dan sebaginya.
"Saya buntu dan risau, apa akan jadi jika kita terus berada di takuk lama. Negara lain sudah maju, tetapi kita masih bercakap mengenai isu yang pada saya remeh dan boleh diselesaikan sendiri masyarakat," kata Amani lagi.
Terdahulu, ramai yang membidas dan mempertikaikan usul daripada Ahmad Idham yang menggesa supaya kerajaan mengawal selia kandungan digital, termasuk Netflix. -CARI
|
|