CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2194|Reply: 3

RASULULLAH S.A.W MENJAWAB MURJIAH & KHAWARIJ

[Copy link]
Post time 1-11-2019 09:16 AM | Show all posts |Read mode
OLEH: MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI
Dewasa ini telah muncul golongan yang menisbahkan diri mereka kepada Manhaj Salafi Ahlus Sunnah wal Jamaah tetapi menyeru kepada seruan Khawarij dan melabelkan Ahlus Sunnah wal Jamaah al-Salafiah yang sebenar sebagai Murjiah.
Namun, tidak guna jika kita saling berbantah-bantah dengan akal pemikiran masing-masing, maka amat wajar kita menyahut seruan Allah Taala:
فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ
Maksudnya: “Maka jika kamu bertelagah dalam sesuatu perkara maka kembalikanlah kepada Allah dan Rasul..” [al-Nisaa: 59].
Maka di sini kami datangkan seberapa banyak hadis-hadis Rasulullah s.a.w yang memerintahkan kita mentaati pemerintah dalam makruf dan perintah-perintah baginda untuk bersabar terhadap kezaliman mereka.
Jawapan Rasulullah s.a.w kepada Murjiah:
Khalifah al-Makmun pernah bertanya kepada al-Nadhr bin Syamil r.h berkenaan Murjiah lalu al-Nadhr menjawab: “Agama yang mengikut pemerintah, mereka membetulkan dengannya dunia mereka dan mengurangkan dengannya agama mereka”. [al-Bidayah wan Nihayah, 10/303].
Murjiah beranggapan bahawa maksiat tidak akan memudaratkan Iman bahkan sebahagian mereka melampau batas dengan mengatakan Iman tidak akan batal jika seseorang melakukan amalan syirik dan kufur akbar selama dia tidak menghalalkannya di dalam hati,- nauzubillahi minal jahli wad dolal-, atas dasar ini mereka akan mengikut sahaja semua perintah pemerintah walaupun ianya maksiat.
Ini berbeza dengan Ahlus Sunnah wal Jamaah yang hanya akan taat pada perintah yang makruf dan mencegah daripada maksiat walaupun yang melakukannya seorang raja dan Khalifah.
Berikut kami datangkan hadis-hadis Rasulullah s.a.w yang memerintahkan kita supaya berpaling daripada perintah yang membawa kepada  maksiat:
أنس بن مالك – رضي الله عنه – :أنَّ رسولَ الله -صلى الله عليه وسلم- قال : «اسْمَعوا وأطِيعوا وإِن استُعمِلَ عليكم عبدٌ حَبشيٌّ ، كأنَّ رأسَهُ زَبيبَةٌ ، مَا أقَامَ فيكُم كِتَابَ الله».وفي رواية : أنَّ رسولَ الله -صلى الله عليه وسلم- قال لأبي ذَرٍّ : «اسْمَعْ ، وأَطِعْ ، ولو لِحَبَشيٍّ ، كأنَّ رَأْسَهُ زَبِيبَةٌ»
Maksudnya: Daripada Anas bin Malik r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Dengar dan Taatlah jika dilantik ke atas kamu (sebagai pemerintah) hamba habsyah yang kepalanya seakan-akan buah anggur selama mana dia menegakkan Kitab Allah’. Dan dalam riwayat yang lain: ‘Bahawa Rasulullah s.a.w bersabda kepada Abu Zarr r.a: ‘Dengar dan Taatlah walaupun kepada seorang Habsyi yang kepalanya seperti anggur’. [Hadis dikeluarkan: al-Bukhari, Ibn Majah, dan Ahmad].
أم الحصين الأحمسية – رضي الله عنها – قالت : حَجَجْتُ مَعَ رسولِ الله -صلى الله عليه وسلم- حَجَّةَ الودَاعِ ، فَرأيتُهُ حِينَ رَمَى جَمْرَةَ العَقَبَةِ وانصَرَفَ ، وهو على راحِلَتِهِ ، ومعه بلالٌ وأُسَامَةُ : أَحَدُهُما يقودُ بِهِ رَاحِلَتَهُ ، والآخرُ رافعٌ ثَوبَهُ على رأسِ رسولِ الله -صلى الله عليه وسلم- يُظِلُّهُ من الشمس، قالت: فقال رسولُ الله -صلى الله عليه وسلم- قَولا كثيرا لم أفْهمهُ ، ثُمَّ سَمِعتُهُ يقولُ : «إِنْ أُمِّرَ عليكم عَبْدٌ مُجَدَّعٌ – حَسِبْتها قالت : أسودُ – يَقُودُكمْ بِكِتابِ اللهِ فَاسمعوا [لَهُ] وَأَطِيعوا».
Maksudnya: Daripada Ummul Husin al-Ahmasiah r.ha kata beliau: ‘Aku berhaji bersama dengan Rasulullah s.a.w pada Haji Wada’, maka aku lihat baginda sedang melontar Jamrah al-‘Aqabah lalu beredar sedang dia menunggang tunggangannya bersama dengan baginda Bilal dan Usamah: Salah seorang mereka sedang memacu tunggangan baginda dan seorang lagi melindungi baginda dengan kain daripada matahari. Kata beliau (Ummul Husin): Maka Rasulullah s.a.w bersabda dengan perkataan yang banyak yang aku tidak faham kemudian aku mendengar baginda berkata: “Jika dijadikan pemerintah ke atas kamu seorang hamba yang terpotong hidungnya –Aku (rawi) merasakan dia berkata-: berkulit hitam memimpin kamu dengan Kitab Allah maka dengar padanya dan taatlah”. [Hadis dikeluarkan: Muslim, al-Tarmizi, dan al-Nasai. Lafaz bagi Muslim].
عبد الله بن عمر – رضي الله عنهما – : أنَّ رسولَ الله -صلى الله عليه وسلم- قال: «على المرء المسلم السَّمعُ والطاعَةُ فيما أحَبَّ أو كَرِهَ ، إِلا أَنْ يُؤمَرَ بِمَعْصِيَةٍ ، فَإِن أُمِرَ بِمعصيةٍ، فلا سَمْعَ ، ولا طَاعَةَ
Maksudnya: Daripada Abdullah bin Umar r.hma bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Wajib atas setiap muslim dengar dan taat (kepada pemerintah) dalam urusan yang dia suka atau benci melainkan dia disuruh melakukan maksiat maka jika dia disuruh melakukan maksiat maka tidak wajib dengar dan tidak wajib taat”. [Hadis dikeluarkan: al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tarmizi, al-Nasai, dan Ahmad].
Daripada Saidina Ali r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda:
إنما الطاعة في المعروف
Maksudnya: “Sesungguhnya Taat itu dalam perkara makruf sahaja”. [al-Bukhari & Muslim].
طارق بن شهاب – رضي الله عنه – أن رجلاً سأل النبي – صلى الله عليه وسلم – ، وقد وضَعَ رِجْلَهُ في الغَرْزِ : أيُّ الجهادِ أفضلُ ؟ قال : «كلمةُ حقٍ عند سلطان جائر»
Maksudnya: Daripada Tariq bin Syihab r.a bahawa seorang lelaki bertanya kepada Nabi s.a.w sedang baginda telah meletakkan kaki baginda di atas tempat tunggangan: ‘Apakah Jihad yang utama?’ Jawab baginda: “Perkataan yang benar di sisi pemerintah yang zalim”. [Hadis dikeluarkan: al-Nasai, darjatnya hasan].
Hadis-hadis ini dengan jelas menunjukkan bahawa ketaatan kepada pemerintah dan sesiapa sahaja yang daripada makhluk hanya berlaku dalam urusan yang sesuai dengan syariat sahaja, apabila urusan itu tidak sesuai dengan syariat maka haram untuk kita mentaati perintah itu.
Bahkan wajib kita berkata benar dan mencegah kezaliman pemerintah walaupun akan menggadai nyawa kita dan teladan ini amat banyak dalam tokoh-tokoh Ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah antaranya al-Imam Malik bin Anas r.h, al-Imam al-Syafii r.h, dan al-Imam Ahmad r.h.
Imam Malik bin Anas r.h telah disiksa sehingga tercabut tulang bahunya kerana beliau mempertahankan bahawa baiah rakyat kepada pemerintah mereka akan taat untuk menceraikan isteri mereka jika disuruh adalah bidaah dan tidak sah sebagaimana yang telah sahih dalam Sunnah. [Siyar A’lam al-Nubala’, 8/79-80].
Imam Ahmad bin Hanbal r.h amat terkenal dengan ketegasan beliau mempertahankan Akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah bahawa al-Quran adalah Kalamullah bukan Makhluk sehingga beliau disiksa dan dipenjarakan dengan begitu lama sekali. [Lihat kisah beliau dalam Siyar juz 11].

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 1-11-2019 09:17 AM | Show all posts
Jawapan Rasulullah s.a.w kepada Khawarij

Apabila Ahlus Sunnah wal Jamaah menyatakan bahawa haram mentaati pemerintah apabila dia menyuruh melakukan maksiat, segolongan kaum pula melampau sehingga mereka berpandangan wajib memerangi pemerintah yang melakukan maksiat atau berlaku zalim itu.

Adapun Ahlus Sunnah wal Jamaah berada di pertengahan antara kecuaian Murjiah dan sikap melampau Khawarij, di mana Ahlus Sunnah wal Jamaah menyatakan haram mentaati perintah yang maksiat namun tidak boleh (haram) memerangi pemerintah selagi mana dia tidak menjadi kafir dan menjaga penegakkan solat.

Berikut adalah jawapan Rasulullah s.a.w kepada Khawarij:

عن ابن أبي أوفى قال سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: الخوارج كلاب أهل النار

Maksudnya: Daripada Ibn Abi Aufa r.a kata beliau: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “al-Khawarij adalah anjing-anjing ahli neraka”. [al-Sunnah Ibn Abi Asim,Sahih-Zilal al-Jannah-]

عن عبادة بن الصامت عن النبي صلى الله عليه وسلم قال اسمع وأطع في عسرك ويسرك ومنشطك ومكرهك وأثره عليك وإن أكلوا مالك وضربوا ظهرك

Maksudnya: Daripada Ubadah bin al-Somit r.a daripada Nabi s.a.w baginda bersabda: “Dengar dan Taatlah ketika susah dan senang, rela dan terpaksa, dan ketika keadaan yang merugikan kamu walaupun mereka (pemerintah) merampas hartamu dan memukul belakangmu”. [al-Sunnah Ibn Abi Asim –Zilal al-Jannah- Sahih].

عبد الله بن عباس – رضي الله عنهما – : أنَّ رسول الله -صلى الله عليه وسلم- قال : «مَنْ كَرِهَ مِنْ أمِيرِهِ شَيْئا فَلْيَصبِرْ ، فَإِنَّهُ مَنْ خَرَجَ مِن السُّلطانِ شِبرا مَاتَ مِيتَة جَاهِليَّة». وفي رواية : «فَليَصبِرْ عليه ، فَإِنَّهُ مَنْ فَارَقَ الجَمَاعَةَ شِبرا فَمَاتَ فَمِيتَتُهُ جَاهِليَّةٌ»

Maksudnya: Daripada Abdullah bin Abbas r.hma bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang membenci akan pemerintahnya kerana sesuatu maka bersabarlah kerana sesiapa yang keluar daripada pemerintah sekadar sejengkal dia mati dalam keadaan jahiliah”. Dalam riwayat yang lain: “maka hendaklah dia bersabar, kerana sesungguhnya sesiapa yang berpisah daripada al-Jamaah sekadar sejengkal maka dia mati dalam keadaan jahiliah”. [Hadis dikeluarkan: al-Bukhari & Muslim].

أم سلمة – رضي الله عنها – أنَّ رَسولَ الله -صلى الله عليه وسلم- قال : «إِنَّهُ يُسْتَعْمَلُ عليكُمْ أُمَرَاءُ ، فَتعرِفُونَ وَتُنْكِرُونَ ، فَمَنْ كَرِهَ فَقد بَرِئ ، وَمَن أَنْكَرَ فقد سَلِمَ، ولكن مَنْ رَضي وتَابَعَ» ، قالوا : أفَلا نُقَاتِلُهمْ ؟ قال : «لا ، مَا صَلُّوا».

Maksudnya: Daripada Ummu Salamah r.ha bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya akan memerintah kamu nanti pemerintah-pemerintah, maka (ada perbuatan mereka) yang kamu setujui dan ada yang kamu ingkar, maka sesiapa yang membenci (maksiat yang mereka lakukan) dia telah terlepas (daripada azab), sesiapa yang mengingkarinya dia selamat, tetapi sesiapa yang reda dan mengikut (maka dia termasuk orang yang bersubahat)”. Mereka (Sahabat) berkata: ‘Apa tidak patutkah kami memerangi mereka (pemerintah)?’ Jawab baginda: “Tidak boleh selagi mereka bersolat”. [Hadis dikeluarkan: Muslim, Abu Daud, dan al-Tarmizi dan lafaz pada Muslim].

عوف بن مالك – رضي الله عنه – : قال : سمعتُ رسولَ الله -صلى الله عليه وسلم- يقول:«خِيَارُ أَئِمَّتِكُمْ : الذين تُحبُّونَهُمْ ويُحبونَكُمْ ، وَتُصَلُّونَ عليهم ، ويُصَلُّونَ عليكم ، وَشِرارُ أَئِمَّتِكُمُ : الَّذِينَ تُبْغِضُونَهُمْ ، وَيُبْغِضُونَكمْ ، وتَلْعَنُونَهُم ، وَيلْعَنُونَكم» قال : قُلنا : يا رسول الله ، أفَلا نُنابِذُهم [ عند ذلك ؟] ، قال : «لا ، ما أقاموا فيكم الصلاةَ ، لا ، ما أقاموا فيكم الصلاةَ ، ألا مَنْ وَلِيَ عليهِ وَالٍ ، فرآهُ يَأْتي شَيئا مِنْ مَعصيةِ اللهِ ، فليكره ما يأتي من معصية الله، ولا يَنْزِعَنَّ يَدا من طَاعَةٍ»

Maksudnya: Daripada Auf bin Malik r.a: Kata beliau: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Sebaik-baik pemimpin kamu adalah yang kamu sukai mereka itu dan mereka menyukai kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu, dan seburuk-buruk pemimpin kamu adalah yang kamu benci mereka itu dan mereka membenci kamu, kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu”. Berkata beliau (Auf): Kami berkata: ‘Wahai Rasulullah, apakah tidak boleh kami memerangi mereka ketika itu?’ Jawab baginda: “Tidak boleh selagi dia mendirikan dalam kalangan kamu solat, tidak boleh selagi dia menegakkan dalam kalangan kamu solat, sesungguhnya sesiapa memerintah atasnya seorang pemerintah lalu dia melihatnya (pemerintah tersebut) melakukan sesuatu yang maksiat kepada Allah maka bencilah dia atas apa yang dia lakukan daripada maksiat kepada Allah namun jangan dia mencabut tangan daripada ketaatan”. [Hadis dikeluarkan: Muslim dan Ahmad].

عبد الله بن مسعود – رضي الله عنه – : قال : قال رسول الله -صلى الله عليه وسلم-: «إِنَّها ستكُونُ بعدي أَثَرَةٌ ، وَأُمُورٌ تُنكِرُونَها» قالوا : يا رسولَ الله ، كيفَ تَأْمُرُ مَنْ أَدْرَكَ ذلك مِنّا؟ قال : «تُؤدُّونَ الحَقَّ الذي عليكم ، وتَسألُونَ اللهَ الذي لكم»

Maksudnya: Daripada Abdullah bin Masud r.a kata beliau: Telah bersabda Rasulullah s.a.w: “Sesungguhnya akan berlaku selepasku nanti perkara yang sukar dan perkara-perkara yang kamu ingkari”. Kata mereka (Sahabat): ‘Apakah yang kamu perintahkan kepada sesiapa antara kami yang menjumpainya?’ Kata baginda: “Kamu tunaikan hak yang ada atas kamu (mentaati pemerintah dalam makruf) dan kamu mintalah hak kepunyaan kamu kepada Allah”. [Hadis dikeluarkan: Al-Bukhari, Muslim, dan al-Tarmizi].

Maksud أَثَرَةٌ   dalam hadis ini adalah kaum pemerintah yang akan melebihkan diri mereka dalam urusan harta dan sebagainya (memakan harta secara zalim). [Jami’ul Usul, Ibn al-Athir].

وائل بن حُجر – رضي الله عنه – :قال : سَألَ سَلَمَةُ بْنُ يَزِيدٍ الجُعفيُّ رسولَ الله -صلى الله عليه وسلم- قال : يا نَبيَّ اللهِ ، أرَأيتَ إنْ قَامَتْ علينا أُمرَاءُ يَسألُونَا حَقَّهم ، ويَمنعونَا حَقَّنا، فما تَأْمُرنا ؟ فأعْرَضَ عنه ، ثم سأله ، فَأعرَضَ عَنْه ، ثم سأله في الثانية – أو في الثَّالِثَةِ – فَجَذَبَهُ الأشعَثُ بنُ قَيسٍ ، فقال : «اسْمعوا وأطِيعُوا ، فإنَّما عليهم مَا حُمِّلُوا ، وعليكم ما حُمِّلْتُم»

Maksudnya: Daripada Wail bin Hujr r.a kata beliau: Telah bertanya Salamah bin Yazid al-Ju’fi r.a Rasulullah s.a.w kata beliau: ‘Wahai Nabi Allah, apakah pandanganmu jika nanti berdiri pada kami pemerintah-pemerintah yang meminta hak mereka (ketaatan dan baiah) dan menghalang hak kami (daripada keadilan dan bermuamalah dengan baik) maka apakah perintahmu?’ lalu baginda berpaling daripadanya kemudian dia bertanya lagi, maka baginda berpaling daripadanya, kemudian dia bertanya lagi pada kali yang kedua atau ketiga lalu ditarik oleh al-Asy’as bin Qais r.a lalu baginda Rasulullah s.a.w berkata: “Dengarlah dan taatlah kerana sesungguhnya atas mereka apa yang mereka dipertanggungjawabkan dan atas kamu apa yang kamu dipertanggungjawabkan”. [Hadis dikeluarkan: Muslim dan al-Tarmizi].

عن جنادة بن أبي أمية قال : دخلنا على عبادة بن الصامت وهو مريض قلنا أصلحك الله حدث بحديث ينفعك الله به سمعته من النبي صلى الله عليه و سلم قال دعانا النبي صلى الله عليه و سلم فبايعناه فقال فيما أخذ علينا أن بايعنا على السمع والطاعة في منشطنا ومكرهنا وعسرنا ويسرنا وأثرة علينا وأن لا ننازع الأمر أهله إلا أن تروا كفرا بواحا عندكم من الله فيه برهان

Maksudnya: Daripada Junadah bin Abi Umayyah kata beliau: Kami masuk menemui Ubadah bin al-Somit r.a ketika beliau jatuh sakit, kami berkata: Semoga Allah memperelokkan keadaan kamu, sampaikan kepada kami hadis yang mudah-mudahan Allah manfaatkan untuk mu dengannya yang kamu dengar daripada Nabi s.a.w. Kata beliau (Ubadah): ‘Telah memanggil kami akan Nabi s.a.w maka kami membaiat baginda lalu berkata lagi: Antara apa yang baginda ambil baiat atas kami: Kami berbaiat untuk dengar dan taat (pada pemimpin) dalam keadaan rela dan paksa, susah dan senang, dan keadaan yang merugikan kami dan jangan kami mencabut urusan daripada empunyanya melainkan kamu melihat kufur yang jelas yang ada pada kamu daripada Allah bukti’. [Hadis dikeluarkan: al-Bukhari dan Muslim].

Semua hadis ini menunjukkan walaupun kita dilarang mengikut pemerintan dalam urusan maksiat namun hendaklah kita bersabar akan kezaliman mereka dan terus menasihati mereka serta tidak mengangkat pedang kepada mereka (yakni memberontak tidak kira apa bentuknya sekalipun).

عَنْ تَميمٍ الدَّاريِّ – رضي الله عنه – : أنَّ النَّبيَّ – صلى الله عليه وسلم – قال : (( الدِّينُ النَّصيحَةُ ثلاثاً )) ، قُلْنا : لِمَنْ يا رَسُولَ اللهِ ؟ قالَ : (( للهِ ولِكتابِهِ ولِرَسولِهِ ولأئمَّةِ المُسلِمِينَ وعامَّتِهم ))

Maksudnya: Daripada Tamim al-Dari r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda: “Agama itu nasihat (sebanyak tiga kali)”,kami berkata: ‘Kepada siapa wahai Rasulullah ?’ Jawab baginda: “Untuk Allah, KitabNya, RasulNya, pemimpin-pemimpin kaum muslimin, dan Umum mereka”. [Hadis dikeluarkan: Muslim].

Para Sahabat ridwanullahi ‘alaihim ajma’in telah bersetuju untuk taat kepada pemerintah muslim selama mereka tidak melakukan kekufuran dan menjadi kufur kerana perlakuannya itu bahkan mereka menasihati pemimpin mereka dengan baik walaupun akan menyebabkan mereka terbunuh.

عن الزبير بن عدي قال : أتينا أنس بن مالك فشكونا إليه ما يلقون من الحجاج فقال اصبروا فإنه لا يأتي عليكم زمان إلا الذي بعده شر منه حتى تلقوا ربكم سمعته من نبيكم صلى الله عليه و سلم

Maksudnya: Daripada al-Zubair bin ‘Adi kata beliau: Kami datang berjumpa Anas bin Malik r.a maka kami mengadu kepada beliau berkenaan apa yang menimpa kami daripada al-Hajjaj lalu beliau berkata: “Bersabarlah, kerana sesungguhnya tidak akan datang atas kamu zaman kecuali selepasnya lebih buruk daripada sebelumnya sehingga kamu berjumpa Tuhan kamu, aku telah mendengar ini daripada Nabi kamu s.a.w”. [al-Bukhari].

عن سويد بن غفلة قال : قال لي عمر بن الخطاب رضي الله عنه : « لا أدري لعلك أن تخلف بعدي فأطع الإمام ، وإن أمر عليك عبد حبشي مجدع  ، وإن ظلمك فاصبر ، وإن حرمك فاصبر ، وإن دعاك إلى أمر ينقصك في دنياك فقل : سمعا وطاعة ، دمي دون ديني »

Maksudnya: Daripada Suwaid bin Ghaflah kata beliau: Berkata kepadaku Umar bin al-Khattab r.a: “Aku tidak tahu mudah-mudahan engkau akan hidup lagi selepasku, maka taatlah kepada pemerintah walaupun seorang hamba habsyi yang terpotong hidungnya dan jika dia menzalimi kamu sabarlah, jika dia menghalang hakmu maka sabarlah, jika dia memerintah kamu sesuatu yang merosakkan duniamu maka katakanlah: “Aku dengar dan taat, ambil lah darahku bukan agamaku”. [al-Syariah, al-Ajurri  1/82].

Imam al-Ajurri r.h menjelaskan maksud hadis ini adalah apabila pemerintah kamu tidak kira siapa dia asalkan seorang muslim melakukan kezaliman maka sabarlah, jangan kamu memberontak kepadanya dan jika dia menyuruh melakukan maksiat maka jangan kamu ikuti bahkan jika dia mengugut untuk membunuh kamu sekalipun maka mati itu lebih baik. [Ibid].

Maka di sini jelaslah bahawa Ahlus Sunnah wal Jamaah merupakan kaum pertengahan antara dua bidaah bagaikan susu yang mengalir antara darah dan tinja, pertengahan antara Murjiah yang taat membabi buta dan Khawarij yang memberontak tanpa mengira keadaan.

Ahlus Sunnah wal Jamaah berkeyakinan penuh bahawa pemerintah itu selagi dia muslim dan menegakkan syiar Islam yang utama seperti solat maka dia tidak boleh digulingkan dengan kekerasan. Jika dia menyuruh kepada maksiat hendaklah diinkari dan dinashati secara baik bukan dihunuskan pedang memberontak kepadanya.

Oleh itu, insaflah wahai kaum muslimin dan kembalilah kepada Sunnah Rasululullah s.a.w dan berhukumlah kamu dengan apa yang diturunkan oleh Allah Taala kepada kamu. Janganlah kerana kamu ghairah untuk mendapatkan kuasa kamu sanggup memperkudakan Syariat Islam yang mulia ini.

Saya menyeru kepada mereka yang telah terlajak lisan menuduh Ahlus Sunnah wal Jamaah sebagai Murjiah untuk segera bertaubat dan kembali lah kepada pangkuan kebenaran, janganlah mencari-cari kesalahan ‘alim untuk menolak kebenaran seorang Rasul Allah, al-Sodiq al-Masduq. Wallahua’lam.



Rujukan:

Jamiul Usul fi Ahadis al-Rasul, Ibn al-Athir

Zilalul Jannah fi Takrij al-Sunnah, Muhammad Nasir al-Din al-Albani

Al-Syariah, Abul Husain al-Ajurri.
Reply

Use magic Report

Post time 2-11-2019 12:58 AM From the mobile phone | Show all posts
Guru standard khawarij ramai dizaman ini. Standard perasan suci. Suci yg debu2nya setinggi gunung.... Hahahhahahahaha
Reply

Use magic Report

Post time 10-11-2019 11:13 AM | Show all posts
dovob replied at 2-11-2019 12:58 AM
Guru standard khawarij ramai dizaman ini. Standard perasan suci. Suci yg debu2nya setinggi gunung... ...

perbetulkan diri kamu sendiri tu dulu
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

21-5-2024 10:05 PM GMT+8 , Processed in 0.070013 second(s), 30 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list