Polis menahan tujuh lelaki kerana disyaki terlibat dengan LTTE. Kredit foto: Malaysiakini / PDRM
Simpati kaum Tamil di negara ini terhadap perjuangan etnik itu ketika perang saudara di Sri Lanka disifatkan sama seperti apa yang ditunjukkan oleh umat Islam di Malaysia terhadap saudara seagama mereka di Palestin dan etnik Rohingya di Myanmar.
Perkara itu ditegaskan melalui kenyataan bersama pada 10 Oktober oleh empat pemimpin berketurunan India dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Prof. Dr. P. Ramasamy; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, Satees Muniandy; Exco Kerajaan Negeri Selangor, V. Ganabatirau dan Exco Kerajaan Negeri Johor, Dr. S. Ramakrishnan.
(Dari kanan) P. Ramasamy, Satees Muniandy, V. Ganabatirau dan S. Ramakrishnan. Kredit foto: Facebook
Justeru, mereka mendakwa, penangkapan dan penahanan dua ADUN dari DAP dan lima lelaki lain kerana disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) adalah sukar difahami.
"LTTE sebagai gerakan pembebasan Tamil telah ditumpaskan di Sri Lanka semasa fasa terakhir perang saudara pada 2009.
"Kebanyakan pemimpinnya telah dibunuh atau dipenjarakan. Lebih 10 tahun sudah berlalu sejak perang saudara itu," kata mereka.
Mereka turut menganggap perjuangan etnik Tamil adalah lebih besar daripada gerakan bersenjata yang dilancarkan oleh LTTE.
Pemimpin-pemimpin berketurunan India dalam PH mendakwa simpati kaum itu terhadap perjuangan etnik Tamil di Sri Lanka (gambar kiri) sama dengan sentimen umat Islam di Malaysia terhadap nasib saudara seagama mereka di Palestin (gambar kanan) dan etnik Rohingya di Myanmar. Kredit foto: Carian Google
Jelas mereka, sepanjang perang saudara di Sri Lanka, ribuan orang kaum Tamil telah dibunuh dan dicederakan manakala wanita-wanita Tamil menjadi mangsa jenayah seksual.
"Bukan sesuatu yang luar biasa bagi NGO-NGO Tamil menganjurkan majlis bagi memperingati mereka yang telah pergi semasa perang saudara itu. Dalam majlis-majlis itu, lagu dinyanyikan dan doa dibaca," kata mereka.
Mereka turut mempersoalkan mengapa kesemua suspek ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan menegaskan bahawa desas-desus kebangkitan semula LTTE adalah sesuatu yang tidak masuk akal dalam konteks Malaysia.
Biarlah polis menjalankan tugas mereka dahulu dan menyiasat tentang dakwaan usaha membangkitkan semula gerakan kumpulan pengganas LTTE di negara ini. - CARI |