Ibu Pejabat Kumpuan Utusan di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur. Kredit foto: Carian Google
Masa depan kira-kira 800 pekerja Utusan Melayu (M) Berhad semakin tidak menentu apabila sekali lagi timbul desas-desus bahawa syarikat penerbitan akhbar bahasa Melayu tertua di Malaysia itu tidak akan lagi beroperasi selepas 9 Oktober.
Memetik laporan myMetro, langkah itu dikatakan ada kaitan dengan keputusan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir yang dijangka akan mengumumkan kebankrapan sukarela syarikat tersebut.
Abd. Aziz Sheikh Fadzir. Kredit foto: Malaysiakini
Seperti yang dijelaskan oleh Setiausaha Kesatuan Wartawan Kebangsaan Cawangan Utusan Melayu (NUJ-UM), Muhammad Basir Abu Bakar, semua pekerja telah diarahkan untuk mengosongkan meja masing-masing selewat-lewatnya pukul 1 tengah hari.
Andaian operasi syarikat tidak akan diteruskan bertambah kuat apabila wartawan dan jurugambar tidak diberikan tugasan untuk 9 Oktober.
"Setakat ini kakitangan tidak dimaklumkan secara rasmi mengenai dakwaan itu daripada pihak pengurusan, sebaliknya hanya diminta mengosongkan meja masing-masing oleh ketua unit.
"Ini menjadi tanda tanya 800 kakitangan yang masih bekerja mengenai nasib kami," katanya.
Syed Mokhtar Al-Bukhary. Kredit foto: Carian Google
Sementara itu, memetik sumber dalaman di Kumpulan Utusan, langkah penutupan itu adalah untuk beberapa bulan berikutan pengambilalihan saham majoriti anak syarikatnya, Dilof Sdn. Bhd. oleh Aurora Mulia Sdn. Bhd. yang dimiliki oleh tokoh perniagaan terkemuka, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary baru-baru ini.
Difahamkan, Kumpulan Utusan akan menjual semua asetnya bagi membayar hutang manakala semua pekerja diberhentikan dan hanya 120 orang sahaja akan diambil semula oleh Aurora Mulia untuk menjalankan operasi portal berita Utusan Online serta Kosmo! Online.
Edisi cetak Utusan Malaysia dan Kosmo! mungkin dihentikan dan diterbitkan secara dalam talian sahaja. Kredit foto: Facebook
Desas-desus tentang penutupan operasi Utusan Melayu yang menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo! Ahad mula berlegar sejak Ogos lalu ekoran krisis kewangan syarikat yang semakin meruncing.
Masalah yang gagal ditangani oleh pengurusan tertinggi Kumpulan Utusan itu bukan sahaja menyebabkan syarikat gagal menjelaskan hutang-piutangnya malah tidak dapat membayar gaji pekerja dan bayaran ansuran Skim Pemisahan Sukarela (VSS) kepada bekas pekerja selama berbulan-bulan.
Setakat ini, masih belum ada pengumuman rasmi daripada pengurusan Kumpulan Utusan, Dilof atau Aurora Mulia tentang perkara ini. - CARI |