Pencetus Ummah (PU), Mohd Fakhrurrazi Mohd Hanapi menegaskan pemakaian barangan tiruan dikira sebagai mencuri dan berdosa hukumnya jika seseorang melakukannya dalam keadaan sedar.
Bagaimanapun, Mohd Fakhrurrazi atau lebih dikenali sebagai PU Razi menjelaskan solat atau ibadat lain masih sah sekiranya menggunakan barangan tiruan.
"Berhubung ibadatnya diterima atau tidak, itu adalah urusan Allah SWT,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Gambar Hiasan
Foto: Deenamik
PU Razi memetik satu hadis di mana Nabi SAW menyebut 'orang yang berbohong bukan daripada kalangan umatku’.
Katanya, individu yang tidak menyedari telekung digunakannya ketika solat adalah hasil tiruan, maka ibadatnya masih sah sekiranya menepati rukun dan syarat sah.
“Hal itu ada dinyatakan oleh Nabi SAW, ‘ada tiga perkara yang diangkat dosanya iaitu orang tidur yang tidak sedar, gila dan orang yang tidak tahu,” katanya.
PU Razi dipercayai berkata demikian bagi mengulas mengenai lambakan telekung palsu atau tiruan dalam pasaran.
Antara laman web menjual telekung Siti Khadijah palsu di pasaran
Foto: Harian Metro
Jelasnya, seseorang itu dianggap bersubahat dengan si penipu sekiranya masih membeli barang tiruan meskipun sudah mengetahuinya.
“Sehubungan itu, apa yang perlu dilakukan pengguna adalah memboikot serta tidak lagi membeli barang tiruan.
“Sekiranya ada yang sudah terbeli, maka dia perlu terus menghentikan daripada menggunakan barang tiruan berkenaan seterusnya bertaubat.
“Sebagai pengguna, jika ada yang terus menggunakan barang seperti itu, dia seumpama menggalakkan perbuatan berkenaan,” katanya.
Katanya, pengguna tetap berdosa jika sengaja membeli dan mengguna produk tiruan walaupun bukan atas faktor dengki terhadap pengeluar. - CARI |