Pemergian mengejut Mejar Mohd Zahir Armaya selepas tertembak ketika melakukan demonstrasi sempena pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Bridged ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu mengundang pelbagai persoalan daripada orang awam.
Rata-ratanya mempertikaikan penggunaan peluru hidup dalam demonstrasi tersebut.
Persoalan tersebut akhirnya terjawab apabila satu hantaran menerusi akaun Facebook Perajurit - Penjana Permikiran Pertahanan tampil menjelaskan situasi yang menimpa anak pelakon AR Badul itu.
Menurut hantaran tersebut, penggunaan peluru hidup dalam latihan dan demonstrasi adalah suatu kebiasaan dalam kem latihan komando. Sesekali, mereka buat demostrasi tersebut supaya orang awam mengetahui kemampuan mereka.
Latihan ini adalah standard paling tinggi dalam komando mana-mana pelosok dunia kerana ia adalah penting untuk membentuk tahap keyakinan tinggi anggota ketika berdepan situasi sebenar, peluru sebenar, dan nyawa sebenar.
Latihan seumpama ini hanya untuk anggota komando sahaja, bukan untuk anggota biasa yang lain. Komando akan berlatih menembak piring sasaran sehingga 100 peratus tanpa tersasar, kemudian barulah ujian tembakan bahaya menggunakan sasaran hidup dibenarkan.
Tiada sedikit pun kesilapan dibenarkan, sebab jika ia berlaku nyawa adalah akibatnya. Inilah yang berlaku kepada Allahyarham Mejar Zahir.
Pemakaian baju kalis peluru bukanlah jaminan keselamatan nyawa 100 peratus. Jika tersasar walau satu inci sekalipun, nyawa adalah taruhannya. Itulah hakikatnya pengorbanan anggota tentera, nyawa mereka adalah taruhan sebenar bukan sahaja di padang perang, tetapi juga ketika latihan.
Ekoran kejadian itu, pihak polis menjalankan siasatan berhubung insiden ini dan seorang anggota tentera berusia 37 tahun ditahan untuk disiasat mengikut
Seksyen 304A Kanun Keseksaan, lapor Harian Metro.
Kredit Foto - Harian Metro
Jenazah Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya, 36, telah selamat dikebumikan dengan penuh istiadat ketenteraan di Tanah Perkuburan Tambun di Ipoh, semalam. Al Fatihah. - CARI