Sebut sahaja nama Sharifah Sakinah tentu ada yang mengaitkan beliau dengan sikap gila-gilanya. Sejak dulu lagi, Sakinah memang tidak kisah dengan komen negatif daripada mereka yang kurang senang dengan sikapnya itu.
Kredit Foto - Instagram Sharifah Sakinah
Beliau pernah dilabelkan sebagai selebriti yang tidak menjaga sensitiviti masyarakat. Lebih-lebih lagi apabila Sakinah memuat naik foto-foto beliau di Instagram, pasti ada pihak cuba mencari kesalahannya.
Terbaru, Sakinah mengejutkan peminatnya apabila membuat pengakuan bahawa beliau sebenarnya mengalami disleksia sederhana dan memiliki ciri-ciri hiperaktif 'Attention Deficit Hyperactivity Disorder' (ADHD) sejenis ketidakseimbangan mental paling kerap berlaku di kalangan kanak-kanak dan remaja.
Simptom ADHD untuk kanak-kanak mudah dilihat tetapi agak sukar untuk didapati pada peringkat orang dewasa. Ini kerana kebanyakan tanda ADHD yang ada pada orang dewasa akan disembunyikan oleh pemikiran yang semakin matang.
Perkara tersebut hanya disedari selepas tamat persekolahan beberapa tahun lalu. Masalah yang dialami ini menyebabkan beliau sukar untuk untuk fokus dalam melakukan tugasan seharian dan juga berbual untuk jangka masa panjang. Beliau juga tidak mampu menghabiskan beberapa perkara yang dilakukannya.
"Saya gemar membaca buku, tapi tak mampu nak habiskannya. Tengok filem pun separuh-separuh. Menaip pun mesti typo teruk."
"Lepas tamat persekolahan saya baru sedar saya ada ciri-ciri ADHD dan disleksia sederhana." ujarnya menerusi entri di Instagram.
Tambah Sakinah, membesar dalam keluarga Melayu membuatkan dirinya sukar untuk mengesan perilaku serta masalah yang dialami dan tambahan pula, pada ketika itu masyarakat Melayu kurang mempunyai kesedaran tentang perkara tersebut.
Beliau berikhtiar sendiri membantu dirinya menjadi lebih fokus dan normal seperti individu lain.
Menurut portal Myhealth, Profesor Michael Fitzgerald, pakar psikologi daripada Trinity College Dublin memaklumkan bahawa apabila individu yang mempunyai ADHD bekerja dengan fokus, mereka boleh menghasilkan sesuatu yang jauh mendahului manusia biasa.
Ternyata Sharifah Sakinah telah melakukan langkah yang betul bagi mengatasi masalah ADHDnya. Selamat maju jaya Sakinah. - CARI
|