Syarikat pengendali teksi menggesa kerajaan agar tidak meluluskan perkhidmatan teksi motosikal atau Gojek kerana ia akan memberi kesan negatif kepada masyarakat.
Lapor Harian Metro, Big Blue Capital (M) Sdn Bhd nyata kecewa dengan keputusan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang cuba membawa masuk Gojek ke negara ini.
Foto: The Coverage/Tech in Asia Indonesia
Pengasas dan Penasihatnya, Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, kerajaan sepatutnya tidak melayan cadangan yang diusulkan Menteri Belia dan Sukan itu kerana ia hanya akan merendahkan martabat anak muda yang sepatutnya mempunyai pekerjaan lebih baik daripada Go-Jek.
Selain itu, beliau menyifatkan cadangan diutarakan Syed Saddiq menjurus kepada mengejar populariti.
“Anak muda perlu mendapat pekerjaan lebih baik. Dimanakah janji Syed Saddiq untuk membantu anak muda mendapat kerja dan bukannya dengan cara membawa Go-Jek?.
“Macam mana negara nak maju kalau anak muda diberi kerja membawa Go-Jek dan sampai bila mereka harus dipandang hina,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Kuala Lumpur, hari ini.
Shamsubahrin menekankan kesan buruk sekiranya kerajaan meluluskan Gojek seperti keselamatan pembonceng, masalah sosial selain kadar kemalangan tinggi membabitkan motosikal.
“Cadangan itu nanti akan menyebabkan pemandu e-Hailing dan teksi akan ‘mati’ kerana terpaksa bersaing dengan Go-Jek selain banyak isu lain masih belum selesai,” katanya. - CARI |