Seorang pemandu teksi menuntut wanita hamil membayar denda sebanyak 50 pound (RM257) selepas air ketubannya pecah, sekali gus 'membuat kotor' di tempat duduk penumpang belakang.
Kredit foto: METRO/Yorkshire Post/SWNS
Memetik METRO, ketika kejadian Dana Harrison, 23, dikatakan mengalami sakit untuk bersalin apabila merasakan kepala bayi sudah keluar sebelum mereka tiba di hospital.
Bagaimanapun, ketika Dana ditolak masuk ke hospital menggunakan kerusi roda, pemandu berkenaan mula membuat kecoh dan bertanya sama ada wanita itu akan 'membersihkan keretanya'.
Menurut Dana, lelaki itu ingin menunggu di luar sehingga seseorang membawa kain lap selain berkeras mahukan wanita itu kembali dan membersihkan tempat duduk berkenaan.
Tindakan tidak masuk akal lelaki itu memaksa Dana yang sedang menanggung sakit hendak bersalin bersetuju membayar tambang perjalanan 3 pound (RM15) berserta tambahan 30 pound (RM154).
Teriakan lelaki itu meminta bayaran tambahan membuat keadaan menjadi huru-hara, sekali gus menyebabkan Dana tertekan.
Katanya, pemandu terbabit tidak gembira dengan jumlah diberikan Dana.
Kredit foto: METRO/Yorkshire Post/SWNS
Sebelum kejadian, Dana berada di rumahnya di Seacroft bersama kakaknya, manakala teman lelakinya, Aiden Ibbotson, 23, sedang memancing dengan rakan-rakan apabila dia mula berasa sakit hendak bersalin pada Isnin.
Dana kemudian menempah teksi dengan syarikat Roadrunners untuk membawanya ke hospital.
Berang dengan layanan itu, Dana kemudian menghubungi syarikat teksi berkenaan untuk membuat aduan mengenai kejadian, namun mereka hanya memohon maaf selain enggan mendedahkan identiti pemandu terbabit. - CARI |