Kejadian misteri papan tanda berayun sendiri disaksikan oleh beberapa murid sekolah terbabit. Kredit foto: Twitter
Kebiasaannya, sesuatu objek yang tergantung hanya akan berayun apabila digerakkan oleh tenaga manusia atau tiupan angin yang kuat.
Berbeza pula dengan sekeping papan tanda yang digantungkan di sebuah sekolah rendah, ia berayun ke kiri dan ke kanan dengan kelajuan yang semakin meningkat namun tidak diketahui apa puncanya yang menyebabkan objek itu bergerak.
Lebih menghairankan, dua lagi papan tanda yang digantungkan beberapa meter di belakangnya hanya berayun sedikit atau kelihatan seperti tidak bergerak langsung semasa papan tanda yang memaparkan perumpamaan dalam bahasa Inggeris 'AS LIVELY AS A CRICKET' itu berbuai laju.
Lokasi kejadian itu tidak diketahui namun berdasarkan loghat seorang wanita yang merakamkan video yang tular melalui media sosial tersebut, sekolah terbabit dipercayai terletak di utara Semenanjung Malaysia.
Dalam video yang turut disiarkan laman Twitter SARAWAK ARITOK pada 24 Jun, beberapa murid sekolah berkenaan turut menyaksikan perkara aneh itu.
Pelbagai persoalan timbul dalam kalangan netizen yang menyaksikan video yang berdurasi 41 saat tersebut.
Salah seorang daripada mereka secara berseloroh mengaitkan ayunan papan tanda itu dengan buaian Newton yang digunakan dalam kelas Fizik untuk menunjukkan prinsip keabadian momentum.
Kredit foto: Twitter
Video yang sama turut tular melalui Facebook dan mencetuskan pelbagai spekulasi tentang sekolah yang dikatakan pernah berlaku kejadian misteri seperti kerusi atau meja bergerak sendiri.
Walau bagaimanapun, memetik laporan MStar pada 25 Jun, seorang guru di sekolah berkenaan memberitahu, tiada gangguan yang berlaku terhadap kakitangan dan murid-murid.
Beliau juga menjelaskan, tapak sekolah itu pada asalnya merupakan kawasan hutan kecil dan ada kaitan dengan sejarah pendudukan tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua.
Meremang juga bulu roma bila menonton video itu lebih-lebih lagi pada waktu tengah malam yang sunyi. - CARI |