View: 3547|Reply: 1
|
Menakluki ketakutan melalui kembara solo
[Copy link]
|
|
KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Tidak mempunyai sebarang makanan selama 48 jam merupakan antara cabaran paling besar terpaksa dilalui Anita Yusof semasa berkemah bersendirian di Costa Rica ketika kembara solo bermotosikal mengelilingi dunia beberapa tahun lalu.
Wanita berusia 52 tahun dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh itu berkata beliau terputus bekalan makanan berikutan tidak dapat membuka kotak tempat beliau menyimpan keperluan memasak.
Kelaparan selama 48 jam merupakan ketakutan yang beliau belajar takluki ketika mengembara secara solo selama 370 hari menggunakan motosikal sejauh 65,369 kilometer merentasi empat benua meliputi 40 negara bermula dari Seattle, Amerika Syarikat pada September 2015, katanya.
Beliau menceritakan pengalaman itu kepada Bernama selepas menyampaikan ceramah bertajuk “Menakluki Ketakutan Anda” di Universiti Terbuka Malaysia (OUM) baru-baru ini.
“Saya cuba buka penutup, sembur WD40 pada lubang kunci, pusing penutup dengan kuat dan melakukan apa sahaja yang terlintas dalam fikiran, tetapi semuanya tidak berhasil,” katanya sambil menambah beliau juga mengalami kesukaran untuk tidur kerana kelaparan.
“Saya mula kesal dengan idea perkhemahan di Lake Arsenal di Costa Rica itu,” katanya yang melahirkan rasa syukur apabila ada insan yang sudi membantu beliau ketika itu.
Selepas kejadian itu, beliau sentiasa memastikan kotak menyimpan barang dan tayar motosikalnya sentiasa dalam keadaan baik.
Ibu kepada dua anak yang gemar mengembara itu adalah wanita Islam Malaysia pertama yang melakukan kembara solo mengelilingi dunia.
Anita berkata beliau juga menghadapi cabaran daripada alam semula jadi ketika mengembara selama 10 hari sejauh 3,400 kilometer dari Mendoza ke El Calafate di Angentina.
Katanya angin kuat sepanjang perjalanan menyukarkannya mengawal motosikal Yamaha FZ150i.
“Angin bertiup sangat kencang selepas 9.30 pagi dan bertambah kuat selepas tengah hari. Saya dimaklumkan ia berikutan angin yang bertiup dari Lautan Pasifik yang menuju ke pergunungan Andes.
“Saya belajar banyak perkara sepanjang perjalanan dan bertemu ramai orang baik yang membantu saya. Saya juga berpegang kepada moto D.U.I.T (Doa, Usaha, Ikhtiar, Tawakal,” katanya yang berasal dari Batu Pahat, Johor.
Ditanya negara mana yang ingin dilawatinya selepas ini, beliau berkata: “Saya ingin ke Amerika Selatan untuk melihat keindahan negara itu sekali lagi dengan motosikal saya,” katanya.
-- BERNAMA
|
|
|
|
|
|
|
|
mula2 baca terbayang motor besar |
|
|
|
|
|
|
| |
|