Gambar Hiasan
Anggota polis berusia 29 tahun ditahan selepas mengugut ibunya dengan pisau dan tukul besi pada Jumaat lalu di Felda Semenchu, Kota Tinggi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Nik Azaham Nik Aziz mengesahkan pihaknya menerima aduan daripada abang suspek jam 12.20 pagi.
Abang suspek mendakwa, adiknya yang bertugas di Balai Polis Cherang Ruku, Pasir Putih, Kelantan mengugut ibunya dengan pisau dan tukul besi selain menakutkan dengan api, serta meminta duit daripada mangsa.
Sejurus laporan diterima, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Teluk Sengat dikerahkan ke lokasi kejadian pada hari sama jam 2.30 pagi dan merampas sebilah pisau serta satu tukul besi.
Kredit foto: Sinar Harian
Difahamkan, suspek yang sudah bercerai dan memiliki dua cahaya mata itu berkhidmat di bahagian tugas am dan mula bertugas sebagai anggota polis sejak 2012.
Suspek yang mempunyai rekod lampau di bawah akta 15(1)(a) APD. 1952 direman bermula 24 hingga 30 Mei ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah. - CARI |