Datuk Seri Najib Razak dan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Kredit foto: Facebook
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dinamakan sebagai Ahli Parlimen yang mempunyai paling banyak tanda 'suka' di Facebook berdasarkan kajian yang dijalankan oleh The Star baru-baru ini.
Memetik laporan The Star Online pada 26 Mei, Ahli Parlimen Pekan itu menerima 3.8 juta tanda 'suka' diikuti pencabar terdekatnya yang menerima 3.6 juta tanda 'suka' iaitu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Tempat ketiga menjadi milik Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mencatatkan 1.8 juta tanda 'suka' diikuti Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di tempat keempat (1.7 juta) dan di tempat kelima ialah Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin (1.2 juta).
Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Khairy Jamaluddin. Kredit foto: Facebook
Najib dan Dr. Mahathir juga berada di kedudukan tertinggi sejak Facebook memperkenalkan butang 'suka' pada laman sosial berkenaan.
Walau bagaimanapun, kedua-dua bekas Presiden UMNO itu tidak mencatatkan jumlah status Facebook yang tertinggi disiarkan.
Kategori tersebut diungguli oleh Anwar yang mencatatkan sebanyak 6,274 status disiarkan dalam laman Facebook rasminya sejak ia diwujudkan pada 5 Mei 2008.
Kredit foto: The Star
Analisis yang dijalankan oleh The Star itu adalah berpandukan kepada laman Facebook rasmi Ahli-ahli Parlimen di negara ini.
Namun, tidak dapat dibuktikan sama ada jumlah tanda 'suka' yang diterima mempunyai kaitan dengan tahap sokongan yang bakal diterima dalam pilihan raya nanti. - CARI |