Setiap suami isteri mempunyai perancangan pada keluarga masing-masing. Ada yang bercuti seisi keluarga dan ada juga yang bercuti berdua sahaja dengan alasan tersendiri. Namun, apabila melabelkan pasangan yang tidak sehaluan dengan panggilan kurang manis sebenarnya adalah tidak wajar. Pastinya setiap individu mempunyai alasan masing-masing yang tidak mungkin difahami oleh individu lain.
Luahn seorang netizen mengenai trend ibu bapa yang tidak membawa anak-anak bercuti bersama semakin menular. Ini agak membimbangkan kerana ia mungkin membawa kesan buruk pada masa akan datang seperti ditinggalkan apabila sudah tua nanti. Luahannya itu mendapat pandangan berbelah bahagi antara yang bersetuju dan membangkang. Bagaimanapun statusnya sudah dipadam, tetapi telah dikongsikan oleh beberapa Instagram lain.
Bagi segelintir netizen, pandangan tersebut sangat tidak beradab. Menganggap pasangan yang bercuti tanpa membawa anak sebagai 'selfish' tidak boleh diterima akal kerana situasi masing-masing adalah berbeza. Ini kerana banyak faktor yang mungkin membuatkan anak terpaksa ditinggalkan seperti lokasi percutian yang tidak sesuai, tahap kesihatan anak dan lain-lain. Jadi, usahlah mengukur tahap kasih sayang mereka dengan pembaris kita. Ada ibu bapa yang terpaksa 'mencuri me time' setelah berpenat lelah bekerja. Dalam masa sama mereka tidak melupakan anak-anak dalam percutian yang lain pula.
Jadi, tidak perlu menghakimi orang lain sama ada kolot atau moden. Setiap keluarga mempunyai cara tersendiri untuk meluangkan masa bersama keluarga. Tidak membawa anak ketika bercuti pula tidak bermakna mereka tidak sayangkan anak seperti ibu bapa lain, tetapi ia adalah cara mereka menenangkan fikiran dan badan.
Kredit foto: Carian Internet
Bagaimanapun, ada juga netizen yang merasakan ke mana-mana pun mereka pergi, anak-anak tetap menjadi keutamaan. Serasa tidak lengkap jika anak-anak tiada di sisi. Biarpun terpaksa menggalas penat berganda namun itu semuanya terubat bila melihat anak-anak gembira. Apatah lagi ada ibu bapa yang mengambil kesempatan untuk bercuti berdua dengan meninggalkan anak-anak dengan pengasuh atau orang tua mereka.
Kredit foto: Carian Internet
Perkara sebegini tidak akan timbul jika tiada pihak yang membangkitkan. Mungkin boleh mempersoalkan motif pasangan lain sama ada membawa anak atau tidak ketika bercuti. Namun melabelkan orang lain dengan kata-kata kurang manis adalah tidak wajar kerana kita tidak masalah atau kesukaran orang lain. Yang lebih baik ialah membuat hal sendiri tanpa mengaibkan mana-mana pihak di media sosial. - CARI
|