Chin Ming Lik. Kredit foto: Straits Times
Dengan hanya berbekalkan sijil-sijil akademik palsu, seorang lelaki berusia 49 tahun di Singapura berjaya memperdayakan 38 majikan untuk mendapatkan pekerjaan dalam bidang kejuruteraan awam.
Chin Ming Lik bekerja di sesebuah syarikat untuk tempoh yang singkat sepanjang tahun 2013 hingga 2017 sebelum 'melompat' ke syarikat lain bagi mengelakkan tembelangnya pecah.
Memetik laporan Straits Times pada 5 Mac lalu, antara dokumen-dokumen yang dipalsukannya adalah skrol ijazah Universiti Kebangsaan Singapura (NUS), sijil-sijil daripada Kementerian Tenaga Manusia Singapura, Politeknik Singapura serta GCE A-Level.
Hakikatnya, kelulusan akademik tertinggi yang dimiliki lelaki itu adalah Primary School Leaving Examination (PSLE) yang setaraf dengan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Malaysia.
Penipuan Chin mula terbongkar pada 2 Disember 2016 apabila seorang penolong pengurus di Pejabat Pendaftar NUS menerima skrol ijazah yang memaparkan nama lelaki itu untuk tujuan pengesahan.
Contoh skrol ijazah palsu. Kredit foto: Carian Google
Timbalan Pendakwa Raya Tan Pei Wei memberitahu mahkamah, penolong pengurus berkenaan membuat laporan polis setelah mengesyaki skrol ijazah tersebut adalah palsu apabila tidak menemukan padanan nama Chin dalam pengkalan data NUS.
Polis Singapura meletakkan nama Chin dalam senarai individu yang dikehendaki untuk membantu siasatan dan dia ditahan di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 23 April 2017.
Ketika disoal siasat, Chin mengaku dia telah memalsukan beberapa sijil akademik bagi tujuan memohon pekerjaan sedangkan dia tidak pernah mengikuti pengajian di institusi-institusi tersebut.
Dalam resumenya, Chin yang pernah menerima gaji sebesar S$9,000 sebulan berbohong dengan menyatakan dia mempunyai 16 tahun pengalaman bekerja dengan beberapa syarikat pembinaan di Singapura.
Dia turut didapati melakukan kesalahan-kesalahan lain seperti memandu tanpa lesen yang sah serta mencuri dari sebuah kedai buku di Bedok Utara pada 19 September 2017.
Bagi kesalahan memalsukan sijil-sijil akademik, Hakim Daerah Shaiffudin Saruwan menjatuhkan hukuman penjara selama dua tahun dan 11 bulan serta denda sebanyak S$1,600 terhadap kesalahan yang dilakukan oleh Chin.
Contoh transkrip yang meragukan. Kredit foto: Carian Google
Baru-baru ini, kecoh tentang isu kesahihan kelulusan akademik melibatkan beberapa pemimpin politik Malaysia termasuk yang berjawatan menteri Kabinet tetapi sehingga kini tidak diketahui apa tindakan yang diambil oleh pihak bertanggungjawab. - CARI |