Seorang guru dilihat merotan seorang kanak-kanak di atas lantai di sebuah tadika bahasa Cina di Itali. Kredit foto: South China Morning Post
Dua orang guru di sebuah tadika bahasa Cina di Itali ditahan kerana disyaki melakukan penderaan fizikal terhadap 10 kanak-kanak berusia antara tiga hingga enam tahun, baru-baru ini.
Memetik laporan South China Morning Post pada 20 Februari lalu, rakaman video di tadika berkenaan menunjukkan dua wanita yang dikenali sebagai Zheng Moli, 38, dan Hong Pingping, 26, menendang dan mencampakkan beberapa kanak-kanak di atas lantai.
Mereka juga dilihat menggunakan objek yang menyerupai rotan untuk menyebat kanak-kanak tersebut.
Penderaan terhadap kanak-kanak di tadika berkenaan dirakam melalui tiga unit CCTV yang dipasang polis. Kredit foto: South China Morning Post
Semua kanak-kanak terbabit berketurunan Cina namun tidak dapat dipastikan sama ada kedua-dua suspek itu warga China atau Itali.
Selain dua guru berkenaan, seorang lagi kakitangan tadika yang terletak di Prato, Tuscany itu turut disiasat oleh polis.
Polis memulakan siasatan terhadap tadika berkenaan Disember lalu selepas ibu bapa membuat laporan tentang layanan buruk yang diterima oleh anak-anak mereka.
Tiga kamera televisyen litar tertutup (CCTV) seterusnya dipasang di dalam bilik darjah untuk memantau perbuatan kakitangan tadika tersebut.
Salah seorang guru yang ditahan mendakwa dia tidak tahu perbuatan merotan kanak-kanak adalah satu kesalahan di Itali. Kredit foto: South China Morning Post
"Tiada siapa yang memberitahu saya bahawa menggunakan rotan untuk 'mendidik' kanak-kanak adalah satu kesalahan di Itali. Di China, kaedah ini digunakan untuk meningkatkan kesedaran kanak-kanak," kata Zheng.
Walau bagaimanapun, undang-undang China melarang hukuman sedemikian di sekolah malah seorang bekas guru tadika di Beijing dijatuhkan hukuman 18 bulan penjara pada Disember lalu setelah didapati bersalah kerana mencucuk empat murid dengan jarum untuk menghukum mereka. - CARI |