Dua beradik tergamak mengacukan pisau ke arah bapa mereka hanya kerana tidak diberikan wang.
Harian Metro melaporkan, kejadian berlaku jam 12.45 tengah hari di kediaman keluarga itu di Kampung Sekolah Merbau, Kualai Ketil, Kulim, semalam.
Kredit foto: Harian Metro/NSTP
Difahamkan, mangsa berusia 60 tahun itu enggan memberikan sejumlah wang yang diminta anak-anak lelakinya berusia 18 dan 31 tahun terbabit menyebabkan mereka mengamuk dan mengugut untuk mencederakan bapa mereka dengan pisau.
"Mangsa yang ketakutan meminta anak-anaknya bertenang.
“Selepas keadaan kembali tenang, mangsa yang bimbang dengan keselamatan diri kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Sungai Karangan untuk tindakan selanjutnya,” kata Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar.
Suspek kemudian ditahan di kediaman mangsa pada jam 6 petang dan polis merampas pisau sepanjang 23 sentimeter (sm) yang digunakan untuk mengugut bapa mereka.
Berdasarkan semakan polis, suspek berusia 31 tahun itu memiliki rekod jenayah lampau membabitkan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Kedua-dua suspek ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. - CARI |