|
Di zaman moden ini, penyertaan 'kutu' semakin menjadi trend rakyat Malaysia dari peringkat persekolahan hingga peringkat pekerjaan. Malah, trend penyertaan 'kutu' ini juga menjadi hobi oleh kebanyakan suri rumah.
Berbanding buat simpanan sendiri, ramai yang memilih untuk menyertai permainan kutu kerana beranggapan mereka tidak mampu menyimpan sendiri kerana risau tidak mampu mengawal perbelanjaan.
Kalau dahulu, permainan 'kutu' ini melibatkan wang saja di mana setiap peserta perlu membayar duit kepada ketua peserta mengikut giliran sehingga giliran terakhir. Kini, permainan 'kutu' semakin menjadi trend di mana ramai peniaga online memanfaatkan trend ini kepada perniagaan mereka iaitu dengan mencari beberapa peserta untuk menyertai kumpulan tersebut dengan membayar barang secara 'installment' dan mendapat barang masing-masing mengikut giliran.
Malah, peniaga emas juga turut mengambil kesempatan dengan cara ini untuk melariskan perniagaan emas mereka. Mereka membuka kutu emas yang juga dikenali sebagai 'kutu hui' ini semakin menjadi kesukaan wanita. Bagi mereka, membeli barang kemas memerlukan duit yang banyak, namun dengan 'kutu emas', peserta hanya perlu membayar secara ansuran untuk mendapat barang kemas yang dihajati.
Mengikut fahaman penulis, terdapat beberapa pihak mengulaskan bahawa hukum permainan kutu ini harus sesuai dengan keperluan kita malah dianggap sebagai konsep memberi dan menerima hutang dalam kalangan peserta kumpulan tersebut tetapi bagi yang beragama Islam mempunyai syarat khusus, iaitu setiap kali giliran, mereka perlu mempunyai akad menerima dan memberi hutang.
Bagaimanapun, kebanyakan pemain 'kutu' kini sudah mula meletakkan beberapa syarat bagi peserta untuk menyertai program tersebut, antaranya:
1. Seorang ketua yang amanah dan jujur dilantik bagi memastikan permainan 'kutu' berjalan lancar. Jika peniaga sendiri yang membuka 'group', peniaga tersebut bertanggungjawab menjadi ketua kumpulan.
2. Pastikan setiap peserta boleh dipercayai. Kenal pasti latar belakang mereka dan pastikan peserta dikenali salah seorang peserta lain atau dikenali ketua kumpulan.
3. Ketua tersebut wajib mendapatkan salinan kad pengenalan / pasport setiap peserta.
Foto Carian internet
4. Maklumat terperinci mengenai peserta perlu direkodkan seperti alamat rumah, tempat kerja, nombor telefon, nama dan maklumat terperinci waris yang boleh dihubungi.
5. Setiap peserta 'kutu' juga perlu memberi id media sosial masing-masing seperti facebook, instagram supaya mudah dicari.
Namun, tahukah anda bahawa bagaimana cara sekalipun anda lakukan untuk mengelakkan salah guna aktiviti kutu, aktiviti ini adalah haram dari segi undang-undang Malaysia yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Jika individu yang terlibat disabitkan kesalahan, mereka bakal berdepan dengan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Oleh itu, sebagai alternatif kepada permainan kutu, terdapat beberapa bank seperti Maybank yang menawarkan skim pelan simpanan peribadi di mana pengguna hanya perlu memindahkan duit kepada akaun simpanan berasingan selama tempoh mengikut tetapan pengguna sendiri. Selain wang tersebut dijamin selamat, pengguna juga bakal peroleh kadar dividen yang menguntungkan pengguna. - CARI |
|