Seorang bekas pemandu Ratu Elizabeth dilaporkan melakukan serangan seksual terhadap seorang budak lelaki di kuartersnya di Istana Buckingham dan seorang lagi mangsa di rumah saudaranya.
Kredit foto: Daily Mail/Getty Images
Bagaimanapun, dia yang sudah bersara meninggal dunia akibat sakit tua di hospital pada minggu lalu sebelum sempat didakwa, lapor The Sun.
Alwyn Stockdale, 81, dilaporkan mengaku melakukan serangan itu terhadap mangsa masing-masing berusia 10 tahun dan 14 tahun sekitar tahun 1970-an.
Ia mengambil masa 19 bulan untuk menjejaki Stockdale selepas seorang lelaki dalam lingkungan usia 50-an mendedahkan perbuatan terkutuk bekas pemandu Ratu itu.
Stockdale yang kemudian tinggal di sebuah kotej di Estet Windsor ketika disoal siasat mengakui melakukan serangan seksual itu terhadap budak lelaki terbabit dan seorang lagi di bawah usia 14 tahun.
Dia sepatutnya akan didakwa dengan kesalahan melakukan serangan seksual terhadap kanak-kanak itu dan tiga pertuduhan lain membabitkan jenayah seksual terhadap mangsa kedua.
Bagaimanapun, Stockdale meninggal dunia akibat sakit tua sebelum sempat dimaklumkan mengenai pendakwaan itu.
Difahamkan, seorang daripada mangsa diserang di rumah salah seorang saudaranya di West Yorkshire yang juga bekerja sebagai pelayan diraja, namun perbuatan jijiknya itu tidak disedari sesiapapun.
Menurut sumber, kedua-dua mangsa terkilan kerana Stockdale tidak dihadapkan ke muka pengadilan.
Kredit foto: Daily Mail/PA
Pihak Istana bagaimanapun enggan mengulas lanjut perkara itu. - CARI |