Cerita berbentuk animasi dan kartun sememangnya menjadi kegemaran kanak- kanak. Ini kerana, cerita kartun mempunyai animasi yang menarik, berwarna-warni, suara dan bunyi yang boleh menarik perhatian dan jalan ceritanya adalah pada tahap imaginasi dan pemikiran kanak-kanak.
Antara cerita berbentuk animasi yang menjadi kegemaran kanak-kanak ialah Upin dan Ipin. Walaupun ada ibu bapa yang mengkritik watak kartun dalam cerita tersebut tidak bagus untuk tontonan anak-anak mereka tetapi dalam masa yang sama ia tetap mempunyai nilai moral yang boleh diterapkan dalam kehidupan anak-anak.
Seorang pengguna twitter memuat naik status dan gambar anak lelakinya yang berumur tujuh tahun sedang menjual air kotak di sebuah padang permainan. Anaknya yang bernama Ferris itu terpengaruh dengan watak Mail di dalam cerita Upin dan Upin yang suka berniaga. Menariknya, dia berjaya menjual sebanyak 20 kotak air kotak dan ia pasti membuatkan dia gembira.
Netizen puji comel dan bijak!
Ramai netizen yang memuji kanak-kanak ini yang dilihat pandai berdikari dan bijak. Di saat kanak-kanak lain sedang bermain, dia mengambil peluang untuk mencari duit poket. Netizen masing-masing mendoakan agar dia berjaya dalam hidup apabila besar nanti.
Bagus cara bapa didik anak kecil berniaga
Tidak terkecuali, netizen turut memuji tindakan bapa kanak-kanak ini yang pandai mendidik anaknya. Apa yang ditonton oleh anaknya di televisyen dipraktikkan agar anaknya merasai sendiri pengalaman berniaga seperti watak Mail yang sangat disukainya itu.
Jual harga RM2 seringgit ke?
Lucunya, rata-rata netizen tertanya-tanya adalah air kotak yang dijual itu mengikut harga Mail di dalam cerita Upin dan Ipin?
Walau bagaimanapun, cerita kartun dan animasi yang ditonton oleh anak-anak ada kesan baik dan buruknya. Tetapi, lebih baik jika ibu bapa turut berada di samping anak-anak agar dapat memberitahu nilai yang baik atau sebaliknya. Setuju tak? - CARI |