Laura Wasser peguam kepada penyanyi pop terkenal Britney Spears, dan Mark Vincent Kaplan, peguam kepada Kevin Federline (bekas suami Britney) berperang lagi di Mahkamah Los Angeles minggu ini gara-gara tuntutan Kevin kepada Britney untuk menaikkan elaun tanggungan 2 orang anak mereka.
Selama ini Britney membayar sebanyak USD20 ribu (RM82 ribu) sebulan tetapi Kevin berkata jumlah itu tidak mencukupi untuk menanggung perbelanjaannya yang semakin meningkat. Kevin meminta mahkamah menaikkan elaun tanggungan anak sebanyak USD60 ribu (RM245 ribu) sebulan.
Kredit Foto: Daily Mail
Anak-anak mereka berdua tinggal dengan Kevin selepas diputuskan mahkamah susulan masalah kesihatan Britney dahulu. Bagaimanapun, Britney berpeluang menjaga mereka ketika hujung minggu ataupun ketika ada masa terluang disebabkan kesibukan pertunjukannya yang laris di kelab terkemuka Las Vegas.
Menurut TMZ.com, Britney tidak pernah lalai membayar elaun tanggungan anak selama bertahun-tahun. Selain daripada elaun USD20 ribu sebulan, Britney juga membayar sendiri semua yuran persekolahan, pakaian, aktiviti kokurikulum termasuk sukan dan pelbagai lagi perbelanjaan lain sekitar USD35ribu (RM143 ribu) sebulan.
Kredit Foto: NickiSwift.com
Kevin mendesak kenaikan elaun memandangkan beliau juga ada 2 orang anak lain dengan isterinya sekarang dan 2 orang dengan isterinya terdahulu sebelum Britney.
Dengan jumlah 6 anak tanggungan dan pekerjaan yang tidak menentu Kevin memerlukan bantuan Britney untuk memastikan keselesaan hidup anak-anak mereka.
Mahkamah diberitahu pihak Britney tidak setuju dengan kenaikan itu memandangkan jumlah sedia ada dan bantuan lain Britney sebenarnya lebih daripada mencukupi. Bagaimanapun pihak Kevin dikatakan akan menggunakan hujah persembahan dan pendapatan Britney yang semakin laris sebagai justifikasi permohonan kenaikan elaun tersebut.
Sumber menyatakan mahkamah tidak dapat membuat keputusan buat masa ini dan menangguhkan perbicaraan ke tarikh yang belum diputuskan.- CARI |