Pelajar Tingkatan Empat antara enam ditahan dalam Ops Bajet 2.0 di sekitar daerah Kulim, lapor Sinar Harian.
Operasi bermula jam 10.30 malam itu membabitkan 20 anggota termasuk imam dan Pejabat Agama Daerah Kuala Muda serta Bandar Baharu.
Menurut Penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) Anwar Shariffudin Mad Saat, pihaknya menahan dua pasangan di dalam bilik berasingan dalam serbuan pertama di sebuah hotel bajet di Lunas.
Kredit foto: Sinar Harian
"Serbuan pertama kita telah menahan pasangan remaja perempuan dan pasangannya berusia 21 tahun datang dari Selama, Perak.
"Hasil soal siasat mendapati, pasangan ini sudah tiga kali mendaftar masuk ke situ sejak dua minggu lalu dengan alasan berhenti berehat sebelum bersiar-siar.
"Manakala, satu lagi pasangan datang dari lokasi berdekatan menggunakan alasan sama untuk berehat di situ sebelum bersiar-siar," katanya.
Sementara itu, dalam serbuan kedua di sebuah hotel bajet di Simpang Keladi, anggota berjaya menahan sepasang kekasih dari Pulau Pinang.
"Ketika serbuan, kita juga menemui dua beg pakaian bersama mereka. Mereka berkata, sudah lama kenal dan mahu berkahwin, namun dihalang keluarga," katanya.
Mereka semua ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 25 (a)(b) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat. - CARI |