Istilah baru telah diperkenalkan beberapa bulan yang lalu bagi menggantikan istilah Bahasa Inggeris secara literal. Namun, ada di antaranya kedengaran agak janggal dan melucukan.
Tetapi, tahukah anda istilah ini dicipta setelah melalui beberapa langkah penting? Portal SOSCILI berkongsi bagaimana istilah berikut diwujudkan.
Foto: Facebook Munsyi Muda Bahasa
Salah satu perkataan yang menjadi tumpuan adalah tunafoto hingga perkataan ini menjadi fenomena di Malaysia pada suatu ketika dahulu.
Ketika diperkenalkan, ramai yang terkejut kerana sering mengaitkan tuna dengan sejenis ikan. Sebenarnya, ada kisah disebalik pemilihan perkataan ini. Apabila dirujuk pada Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan tuna mempunyai beberapa makna iaitu,
1. Sejenis ikan laut daripada famili Scombridae yang badannya agak bulat panjang dan muncungnya lancip. Biasanya isinya ditinkan sebagai bahan makanan
2. Luka, cacat, rosak (Slang)
3. Tidak mempunyai (Bahasa Sanskrit)
Contoh Tunafoto
Sumber: Google
Bagi menerangkan istilah Bahasa Inggeris dengan terjemahan yang tepat dan lengkap, kaedah yang digunakan adalah proses pinjam terjemah dengan terjemahan langsung.
Sumber Foto: Google
“Istilah ‘tunafoto’ dicipta dengan menggunakan proses terjemahan langsung iaitu daripada 'photobomb’. 'Tuna' ialah imbuhan pinjaman daripada bahasa Sanskrit yang bermaksud tiada, cacat atau tidak sempurna.
“Tunafoto merujuk kepada keadaan gambar foto yang terganggu, rosak atau tidak sempurna disebabkan oleh sesuatu perkara yang tidak dijangka ketika foto itu diambil,” Ujar Fariza Nurbaya, Guru Pakar Bahasa Melayu yang dipetik daripada laman web SOSCILI.
Teknik yang sama juga digunakan untuk perkataan 'butang tekan' yang diterjemah secara langsung dari 'push button'.
Menurut Fariza lagi, contoh perkataan lain yang diterjemahkan secara langsung adalah 'pengkomputeran awan' yang diambil daripada 'cloud computing'.
Bagaimana, setuju tak dengan pemilihan istilah-istilah di atas? Selepas ini anda tidak perlu risau ditertawakan apabila menggunakan istilah-istilah ini. Ia dipilih secara intelektual ya, bukan secara semberono saja. - CARI |