Tan Hock Chuan & Co menarik diri dari mewakili Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam kes saman yang dikemukakan oleh Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berhubung perintah untuk Datin Seri Rosmah Mansor memulangkan set rantai berlian merah jambu bernilai AS$27.3 juta kepada kerajaan.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Datuk Tan Hock Chuan berikutan pihaknya tidak mendapat sebarang arahan apa daripada 1MDB.
Harian Metro melaporkan, peguam Damien Chan yang mewakili Khairuddin berkata, mahkamah hari ini sepatutnya mendengar permohonan membatalkan saman itu oleh Rosmah, Low Taek Jho dan 1MDB.
Foto: The Malaysian Insight
"Bagaimanapun mahkamah menangguhkan ketiga-tiga permohonan itu dan menetapkan 21 Jun ini untuk pengurusan kes.
"Memandangkan Laporan Audit Negara kini boleh diakses oleh orang ramai, kami akan mendapatkan arahan baru untuk tindakan seterusnya sama ada perlu membuat pindaan terhadap tuntutan saman ini."
Rosmah diwakili peguam Yazid Mustakim manakala Jho Low diwakili peguam Rishwant Singh.
Penyataan tuntutan menyatakan, Jho Low melalui agennya membeli barang kemas iaitu berlian berwarna merah jambu daripada sebuah syarikat dikenali sebagai Loraine dari New York yang mana beliau mendakwa jumlah itu adalah sebahagian daripada wang yang dicuri Jho Low daripada 1MDB.
Khairuddin mendakwa barang kemas itu kemudiannya diterima sebagai hadiah oleh Rosmah pada Mac 2014.
Justeru, plaintif menuntut perintah mahkamah supaya Rosmah mengembalikan semula barangan kemas berkenaan kepada 1MDB serta satu perintah supaya Jho Low membayar jumlah wang yang telah digelapkan dan disalahguna kepada 1MDB.
Beliau menuntut Jho Low dan Rosmah membayar pamapasan atas dakwaan menyalahguna barang kemas tersebut. -CARI |