|
Kat Utusan Malaysia
KESERASIAN gandingan antara Azizan Nin dan Melissa Maureen sebagai pasangan kekasih dalam komersial Pond's White Beauty mendapat sokongan ramai. Malah ramai yang ingin melihat hubungan cinta antara Adam dan Sue diteruskan. Penonton bagaikan terlupa bahawa kemunculan Adam dan Sue adalah bagi memperagakan produk keluaran Uniliver. Ramai yang ingin tahu apakah pasangan kekasih itu akan mendirikan rumah tangga atau sekadar bercinta?
Prihatin terhadap kehendak pelanggannya, pihak Uniliver telah mengambil inisiatif meneruskan kisah cinta antara Adam dan Sue dalam bentuk drama pula.
Diberi judul Table For Two, drama arahan Ng Ping Ho ini akan disiarkan di TV3 mulai esok pukul 7.00 malam.
Drama 13 episod selama setengah jam itu akan memaparkan hubungan lebih intim antara Adam dan Sue bersama watak-watak lain.
Antara pelakon lain yang turut menjayakan Table For Two ialah Cheryl Samad, Alvin dan beberapa bakat baru yang dipilih berdasarkan uji bakat Spot-The Star Contest yang telah dijalankan oleh Pond's sebelum penggambaran drama itu dimulakan.
Menurut Ping, jalan cerita Table For Two digarap berdasarkan hubungan percintaan menurut persepsi lelaki dan wanita.
``Selalunya dalam percintaan, setiap pasangan cuba untuk memuaskan hati pasangan masing-masing. Di sini saya cuba tonjolkan masalah yang bakal timbul bila masing-masing cuba memenangi hati teman mereka,'' katanya yang sebelum ini telah mengarah sitkom Kopitiam.
Malah dia juga berpuas hati dengan komitmen yang diberikan oleh Azizan dan Melissa. Menurut Ping, meskipun Azizan dan Melissa dikategorikan sebagai orang baru dalam bidang lakonan, namun mereka amat serasi.
Bagi Azizan yang pernah berlakon dalam telefilem Dengan Nama Cinta bersama Jehan Miskin dan Fasha Sandha, drama Table For Two menjadi tapak untuknya membentuk kerjaya sebagai pelakon.
Sementara itu menurut Pengurus Jenama Uniliver (Home & Personal Care Business Group), Lee Swee Chin, ``Drama ini dihasilkan bagi memenuhi permintaan ramai yang begitu setia mengikuti iklan Pond's sebelum ini. Mereka menyuarakan hasrat untuk melihat cerita iklan itu dilanjutkan menjadi drama atau filem.
``Ini menunjukkan iklan kami telah menyentuh kehidupan mereka. Justeru itu, kami dengan suka citanya melanjutkan cerita ini menerusi siri drama romantik,'' katanya lagi. |
|