"Keluarga diraja sekalipun tidak akan terkecuali."
Disebabkan mengeluarkan amaran sedemikian, seorang lelaki didakwa melakukan keganasan kerana bertindak seolah-olah menggalakkan kumpulan pelampau untuk menyerang Putera George di sekolahnya.
Husnain Rashid, 31, dituduh menyebarkan mesej berkenaan di laman web pelampau miliknya berserta gambar George di sekolahnya, lapor Mirror.
Pendakwa Rebecca Mundy menerangkan kepada Mahkamah Majistret Westminster mengenai gambar berkenaan.
"Gambar berkenaan memaparkan Putera George di sekolahnya dan terdapat satu lembaga seperti pejuang Daesh di sebelahnya," katanya.
Mengikut fakta kes, tertuduh turut menghantar gambar berkenaan ke alamat Sekolah Thomas Battersea, selatan London berserta teks berbunyi; "Keluarga diraja sekalipun tidak akan terkecuali" dan "sekolah bermula awal."
Rebecca berkata, Rashid juga menyiarkan mesej berkenaan menerusi aplikasi Telegram di salurannya sendiri 'The Lone Mujahid'.
Rashid bagaimanapun, mengaku tak bersalah atas pertuduhan itu.
Foto: Mirror
Ketua majistret Emma Arbuthnot menetapkan 20 Disember sebagai tarikh perbicaraan kes. - CARI |