Terpesona dengan taman-taman di Korea Selatan? Apabila musim berubah, keindahan yang berbeza akan tercipta. Jom tengok 5 taman yang jarang dikunjungi pelancong luar ini!
Setiap taman memiliki keunikan tersendiri. Selain dapat menenangkan jiwa, taman berikut dapat mendamaikan hati anda. Cuba pejamkan mata dan bayangkan anda berada di taman berikut, pasti terbuai-buai bagai diulit mimpi!
Yurim Park
Taman yang cantik dengan itik dan angsa yang 'berkejaran' di dalam kolam ini terdapat dua pentas persembahan bersebelahan Gapcheon River di mana pengunjung boleh menyertai pesta bunga pada bulan April dan November serta keramaian lain sepanjang tahun.
Foto: Koreal Trip
Pelbagai reka bentuk menarik, kreatif dan unik boleh dilihat di celah-celah pohon pelbagai bunga-bungaan yang berkembang mengikut musim.
Selain itu, pengunjung berpeluang menikmati keindahan semula jadi berganding dengan ukiran dan binaan pagoda, titi, gerbang kuntuman yang mewangi dan banyak lagi.
Alamat: 27, Eoeun-ro, Yuseong-gu, Daejeon 34139, South Korea
Gimnyeong Maze Park
Terletak di antara Manjanggul Cave dan Gimnyeongsagul Cave, maze (laluan berliku) berbentuk Pulau Jeju mengandungi imej simbol yang terkenal sebagai mercu tandanya.
Foto: Jeju Tourism
Ada empat cara untuk 'meredah' maze ini dan anda boleh menggunakan peta. Selalunya, ia akan mengambil masa 5-20 minit untuk keluar dari maze itu.
Terdapat juga laluan 'skywalks' dan sebuah observatori di mana anda boleh mengambil foto dan menikmati pemandangan seluruh maze. Pokok Leylandii yang ditanam untuk 'membina' maze ini pula adalah pokok evergreen yang tetap menghijau pada musim dingin.
Mesti ada yang berangan nak main kejar-kejar dalam maze ini macam Running Man, kan?
Alamat: 122, Manjanggul-gil, Gujwa-eup, Jeju-si, Jeju-do
Seonyudo Park
Berdekatan Yanghwa Hangang Park, Seonyudo Park adalah taman ekologi pertama di Korea. Di samping tarikan utama taman ekologi, kemudahan yang ada termasuklah Aquatic Botanical Garden, taman permainan air, dan pelbagai lagi yang boleh dinikmati pengunjung di semua peringkat usia.
Foto: kanikkoreaans
Taman ini dipenuhi tumbuhan jarang ditemui. Terdapat 120 jenis pokok, rumput, bunga dan tumbuhan lain. Landskapnya pula memang memukau mata memandang! Ia amat menarik dengan laluan birch dan buluh yang tenteram, menjadikannya sebuah tempat yang diminati ramai.
Alamat: 343, Seonyu-ro, Yeongdeungpo-gu, Seoul
Boramae Park
Boramae Park terletak di Shindaebang-dong, Dongjak-gu. Boramae Park adalah bekas Akademi Tentera Udara yang diubahsuai menjadi taman rekreasi.
Foto: allaponomareva
Dengan keluasan 420,000 meter persegi, ia mempunyai zoo, taman permainan, gelanggang tenis, dinding setinggi 15 meter (sukan memanjat), tempat meluncur, tasik, taman dan laluan pejalan kaki sepanjang 192 meter.
Dari Mei hingga September, anda boleh saksikan persembahan Pancuran Muzik sambil berkelah di kawasan berumput menghijau.
Alamat: Sindaebang 2(i)-dong, Dongjak-gu, Seoul
Oedo Botania
Sebuah pulau 'kisah dongeng' yang boleh dijejaki dengan feri ini terletak di Hallyeo Maritime National Park, menghadap Lautan Selatan dengan 20 minit pelayaran dari Gujora Port.
Oedo Botania umpama sebuah tempat indah yang muncul dari buku-buku cerita. Ia adalah sebuah taman botanikal kehidupan laut yang wujud sejak 48 tahun lalu, tetapi terus menjadi sebuah taman mempesonakan yang masih 'rahsia' kepada kebanyakan pelancong.
Foto: bsk0104
Dibuka pada 1969, Venus Garden mempamerkan 12 ukiran dan taman berkonsep Barat. Di Paradise Lounge, pengunjung dapat menikmati pemandangan indah laut kebiruan yang terbentang luas! Jambangan Camellias dan pelbagai jenis bunga jarang ditemui turut menghiasi taman ini.
Alamat: 17, Oedo-gil, Irun-myeon, Geoje-si, Gyeongsangnam-do
Seronok, kan? Belum dapat jejakkan kaki ke sana pun, tak apa. Janji dapat menikmati keindahan taman yang punya keistimewaan tersendiri. Manalah tahu, mungkin dapat ilham untuk buat taman kecil sendiri di rumah. Tak salah berangan, kan? - CARI |