Susahnya bila diri obes atau dengan kata lain gemuk, nak swafoto pun kena cari sudut-sudut menampakkan tubuh kurus dan langsing. Baju fesyen terkini yang lebih cantik kebanyakan untuk golongan berbadan S-M.
Aduhai, sedihnya rasa macam didiskriminasi pula untuk mereka bertubuh gempal ni.
Walaupun bermacam cara dah dibuat untuk menguruskan badan termasuk berdiet dan sebagainya, namun masih belum mencapai kehendak berat diingini. Bukan senang ya, mahu menahan diri dari nafsu makan yang berlebihan.
Menurut sebuah kajian seperti dipetik Liputan6.com, terdapat 5 titik ajaib di tubuh kita yang berupaya mengurangkan rasa lapar dan membantu membentuk berat badan ideal. Wah, menariknya!
Di mana 5 titik ajaib tu?
Pertama, di tulang muka kecil bahagian dalam telinga. Percaya atau tidak dengan menekannya selama 3 minit, 2 kali sehari anda dapat mempercepatkan metabolisma dan mengurangkan kelesuan tubuh.
Titik ajaib seterusnya adalah di lekukan kecil di bawah hidung. Tekan di situ selama 5 minit, 2 kali sehari, nescaya akan dapat mengurangkan rasa lapar dan perasaan gelisah.
Yang ketiga, letak empat ruas jari di lutut dan tekan bahagian tersebut sekuatnya dengan gerakan memutar selama 4 minit, 2 kali sehari. Tindakan ini dikatakan dapat melancarkan sistem penghadaman dan mengurangkan simptom kekejangan ketika senggugut.
Titik seterusnya adalah di bahagian dalam siku, iaitu di lekukan dalam siku. Tekan bahagian berkenaan selama satu minit, sebanyak 2 kali sehari kerana ia mampu mengecilkan bengkak dan meningkatkan usus bekerja.
Dan yang terakhir, picit dan tekan buku lali dengan ruas jari telunjuk selama 1 minit, sekali sehari untuk mendapatkan berat badan yang lebih ideal.
|