Pemain badminton nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei terkilan apabila ada pihak melabelnya sebagai ‘orang tua tidak berguna’ selepas lapan bulan perjuangannya tak membuahkan hasil.
Chong Wei nyata kecewa dengan sikap peminatnya yang sekelip mata berubah menjadi pengkritik kerana prestasinya yang merudum.
Bagaimanapun, bekas jaguh badminton No. 1 dunia itu bagaikan mendapat nafas baru selepas menjuarai Terbuka Hong Kong buat kali kelima pada Ahad.
Kejayaan itu sekali gus membuktikan bahawa dia bukanlah ‘orang tua tidak berguna’ seperti yang dicanangkan selama ini.
“Sewaktu saya melalui detik-detik sukar, ramai orang yang sebelum ini menjadi penyokong kuat saya bertukar menjadi pengkritik terhebat dalam sekelip mata.
“Saya tidak pernah berdepan masalah dengan permainan saya sebaliknya ini adalah sebahagian daripada fasa yang berlaku dalam karier saya.
“Saya kemudian berusaha mencari semula semangat yang telah hilang dan berazam untuk mengubah segala masalah ini dan pada ketika itu masih ada pihak yang terus memberikan sokongan kepada saya.
“Ada orang cakap, saya sudah tua, saya sudah tidak boleh diharap, tidak berguna.
“Tetapi saya tidak peduli itu semua kerana saya tidak pernah bermain untuk orang lain dan saya percaya saya boleh bermain lagi, paling penting semangat itu masih ada dalam diri saya.
“Saya pernah nyatakan sebelum ini, saya akan terus beraksi selagi tiada mana-mana pemain Malaysia yang mampu menumpaskan saya dan sehingga hari ini saya masih pemain No.1 di negara ini,” katanya kepada Utusan.
Foto: South China Morning Post
Chong Wei menamatkan kemarau lapan bulan tanpa kejuaraan di Terbuka Hong Kong dengan menundukkan jaguh China, Chen Long 21-14, 21-19. - CARI |