Gila! Semakin ramai pengguna laman sosial mendambakan populariti sampai 'terpaksa' melakukan aksi bodoh sehingga mengundang padah.
Terbaru, remaja lelaki berusia 17 tahun nyaris maut selepas meniru aksi sebuah video prank yang tular di Internet dengan menelan segelas cecair peluntur.
Memetik portal Mirror, video asal yang mula disebarkan pada 2009 itu memaparkan seorang lelaki 'kononnya' meminum cecair peluntur sebelum memuntahkan darah palsu dan kemudiannya tak sedarkan diri.
Foto: Mirror
Remaja lelaki terbabit yang cuba meniru aksi tersebut dikejarkan ke hospital akibat mengalami kecederaan pada esofagusnya selepas meminum cecair berkenaan di kediamannya di Sint-Pieters-Leeuw, Belgium.
Difahamkan, remaja berkenaan bertaruh 10 Euro (RM50) dengan rakan-rakannya selepas menonton video palsu yang dirakam Jordan Thornsburg pada 2009.
Thornsburg tidak menyangka video 'bodoh'nya itu menjadi ikutan.
"Ketika itu, saya hanya mahukan video berkenaan kelihatan 'luar biasa' serta melucukan, dan saya sangka semua orang tahu ia hanya satu gurauan sahaja," katanya.
Tambahnya, darah yang 'dimuntahkannya' ketika itu sebenarnya adalah jus tomato.
Menurut pakar toksikologi, profesor Jan Tytgat, kecederaan dialami remaja terbabit 'hanya satu permulaan'.
Dia menjelaskan, remaja itu mungkin berdepan risiko lapisan tisu saluran itu terhakis. Risiko menjadi lebih tinggi apabila peluntur memasuki perut dan bertindak balas dengan asid gastrik. - CARI