Setiap anak Malaysia yang lahir bermula 1 Januari 2018 hingga 2022 akan menerima Dana Tabungan RM200 melalui unit Amanah Saham di Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata sedemikian ketika membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat hari ini, lapor Bernama.
Foto: Harian Metro/Internet
Katanya, skim itu yang pertama kali diperkenalkan bagi menjamin masa depan generasi TN50 dikenali sebagai Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50).
Menteri Kewangan itu menambah, kerajaan turut memperuntukkan RM250 juta bagi pendidikan generasi TN50 yang juga digunakan bagi menubuhkan pusat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Pusat berkenaan bertujuan membentuk kaedah pembelajaran terkini selain melatih guru pakar STEM menggunakan fasiliti institut pendidikan guru sedia ada dengan kerjasama Akademi Sains Malaysia.
Dalam masa sama, peruntukan itu juga digunakan untuk mempertingkatkan modul komputer sains termasuk program koding dalam kurikulum sekolah rendah dan menengah yang kini telah wujud di tingkatan 1 dan tingkatan 3. - CARI |