"Saya tak malu nak mengaku, pada lima tahun pertama itu Subuh memang tak pernah buat."
Bekas penyampai radio, Fara Fauzana berkata sedemikian ketika menceritakan pengalamannya hampir 10 tahun bekerja dengan stesen radio HOT FM.
Menerusi perkongsiannya itu Fara akui ramai yang berkata dirinya beruntung.
"Untungnya kerja pagi sebab Subuh mesti tak tinggal," ceritanya.
Bagaimanapun, kerana terikat dengan jadual kerja yang memerlukan dia berada di studio seawal jam 6 pagi menyebabkan dia culas dalam menunaikan suruhan-NYA yang satu itu sepanjang lima tahun pertama.
"6 pagi dah mula kerja dan waktu itu jugalah masuk waktu Subuh," katanya yang mengeluarkan pelbagai alasan liat mendirikan solat Subuh sepanjang lima tahun pertama bergelar penyampai radio.
Namun, kesedaran itu timbul sedikit demi sedikit apabila melihat rakan-rakan lain begitu mudah melakukan suruhan wajib Tuhan itu. Dari situ, Fara sedar tak susah untuk melakukannya dan secara perlahan-lahan, dia mula belajar untuk berubah.
"ada awalnya memang agak sukar, tapi bila dah lama-lama belajar dan mula memahami apa itu 'Islam', benda itu sangat mudah," ujarnya.
Selain Subuh, Fara juga akui dia sering 'melajakkan' waktu Maghribnya.
Foto: IG Fara Fauzana
Yalah, kebanyakan anugerah bermula jam 8 malam, dan perlu bersiap-siap seawal jam 5 petang.
"Jujur, pada awalnya saya tak pandai nak urus masa dan sering akan 'qada' sahaja.
"Tapi bila saya lihat benda itu mudah dan tahu macam mana nak mengawalnya, saya belajar untuk jadi yang baik," jelasnya yang sedikit demi sedikit juga berubah bermula dengan berselendang sebelum berhijab sepenuhnya.
Terharu dengar pengakuan Fara Fauzana ini. Berani dia mengaku tak pernah solat Subuh selama 5 tahun! Apapun, semoga Fara terus istiqamah menuju ke jalan Islam. - CARI
Video: FB The Rohani |