Hujan lebat berterusan selama hampir 10 jam yang melanda beberapa kawasan di Pulau Pinang sejak tengah malam tadi telah mengundang banjir di beberapa kawasan rendah awal pagi tadi.
Antara kawasan yang teruk terjejas akibat banjir kilat ialah sekitar George Town, Jalan P. Ramlee, Jalan Perak, Bayan Lepas, Teluk Kumbar dan Paya Terubong.
Seperti banjir sebelumnya, punca bencana banjir kali ini turut dipolitikkan dan mencetus perdebatan hangat di kalangan netizen.
Terdapat segelintir netizen yang menunding jari menyalahkan Parti DAP iaitu selaku pemerintah Pulau Pinang yang menjadi salah punca utama terjadinya banjir kilat ini. Berikut adalah komen-komen netizen.
Ketika banjir kilat melanda Pulau Pinang pada tahun 2014 yang lalu, Pengerusi Barisan Nasional Pulau Pinang, Teng Chang Yeow juga mencipta isu kononnya pembangunan berlebihan di negeri tersebut sebagai punca banjir kilat.
Namun beliau dibidas oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Air Itam, Wong Hon Wai yang mengatakan banjir besar turut melanda kawasan Thean Teik, Air Itam pada tahun 1990-an, semasa Pulau Pinang di bawah pentadbiran Barisan Nasional.
“Banjir besar berlaku pada masa itu ekoran pembangunan yang diluluskan oleh BN dan menyebabkan banjir besar setinggi lapan kaki. Banjir tersebut menyebabkan kerosakan harta benda kepada rumah dan sekolah sekelilingnya.
“Banjir begitu besar sehingga keranda terapung apabila satu keluarga yang sedang menguruskan upacara kematian tidak sempat lari apabila banjir melanda. Itu betul-betul banjir besar angkara pembangunan berlebihan Barisan Nasional,” kata Wong dalam kenyataannya tiga tahun lalu.
Persoalannya, wajarkah kita mempolitikkan semua perkara termasuk bencana yang melanda negara? - CARI
|