SEJAK berumur lapan tahun lagi, Ell Zain Hyder Zainuddin, 29, telah dihantar ke kelas muzik oleh ayahnya. Tidak mahu membantah, Ell Zain Hyder atau senang dengan panggilan Endang menurut kehendak ayahnya itu.
Memilih belajar bermain biola, peningkatan Endang dalam muzik amat membanggakan. Semasa meneruskan ke gred lapan biola, guru muziknya mencadangkan supaya dia belajar piano pula.
Seterusnya semasa berumur 17 tahun, dia mengikuti pengajian diploma dalam muzik di sebuah kolej muzik dan kini memiliki Diploma of Licentiate (LLCM) dari Kolej Muzik London.
Pun demikian, kata Endang, dia lebih menyukai biola kerana alat muzik itu mudah dibawa ke mana-mana. Bermain biola baginya merupakan alternatif bagi menghilangkan tekanan.
Walaupun ayahnya ada menghantarnya ke kelas-kelas lain seperti memanah, berkuda dan sebagainya, namun minat kepada muzik terutamanya bermain biola mengatasi yang lain.
Tambahnya, dia telah mula mengajar muzik dari rumah ke rumah sejak berumur 14 tahun lagi. Ketika itu dia masih lagi tinggal di Ipoh, Perak.
Banyak permintaan daripada ibu bapa yang mahukan dia mengajar muzik kepada anak-anak mereka. Ada juga yang datang ke rumahnya untuk belajar.
Sejak itu, impiannya untuk membuka sebuah akademi muzik telah disimpan di dalam jiwanya. Pengalamannya mengajar muzik di Grand Music School di Ipoh, Yamaha Music School Setiawan, Yamaha Music Melawati dan Yamaha Music Wangsa Walk banyak membantunya untuk memiliki akademi muzik sendiri.
Kini Aizel Academy of Music milik Endang yang baru dibuka pada bulan Jun tahun lalu menjadi kenyataan.
Terletak di Ukay Boulevard, Hulu Kelang, akademi yang dibuka dengan modal sebanyak RM150,000 ini telah dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaacob.
Menurut Endang, pada masa ini terdapat seramai 32 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah, pelajar universiti, wanita bekerja dan suri rumah.
Pelajarnya yang paling muda berumur tiga tahun sementara yang paling tua berumur 67 tahun belajar menggesek biola.
“Saya mahu menggalakkan ramai pelajar belajar di akademi ini. Bagi pelajar yang tidak berkemampuan, saya bercadang untuk mendapatkan penaja bagi membolehkan mereka belajar di sini.
“Bayaran bagi peringkat permulaan ialah RM120 sebulan. Alat muzik perlu dibeli sendiri atau boleh juga dibeli di sini.
“Di antara alat muzik yang boleh dipelajari di akademi ini ialah biola, piano, gitar, cello, Er-Hu, gambus, flut dan akordian. Pada bulan Ogos tahun lalu, saya telah menubuhkan sebuah orkestra di akademi ini bagi bahagian alat muzik bertali.
“Selain mengajar muzik, saya turut membuat terapi kepada wanita hamil dengan mengajar si ibu bermain piano kerana muzik ini bagus untuk perkembangan otak bayi.
“Selain itu, saya turut mengadakan kelas balet muslimah kepada wanita dewasa dan lelaki (kelas berasingan), iaitu satu senaman yang ringkas seperti yoga. Peserta boleh memakai pakaian sendiri yang bersesuaian dengan pakaian di gim,” kata Endang yang mendapat sepenuh sokongan daripada suami, Mohamad Sabri Jaafar.
Mengenai pengalaman yang pernah dikumpulnya, ibu kepada dua orang cahaya mata ini, Aizel Zain Akhtar, dua tahun enam bulan dan Muhammad Wildan Zain, 10, bulan ini berkata, dia pernah membuat persembahan muzik di Istana Budaya, di Paris, Shanghai, Korea, Singapura dan United Kingdom dengan memainkan lagu-lagu tradisional.
Endang juga berkebolehan memainkan alat muzik Er-Hu dan merupakan satu-satunya pelajar Melayu yang mempelajari alat muzik Cina itu di Simpson Enterprise, Ipoh.
Kebolehannya bermain Er-Hu lebih terserlah apabila dia mengiringi penyanyi Aizat yang mendendangkan lagu Pergi dan terpilih sebagai johan semasa Anugerah Juara Lagu beberapa tahun lalu.
Dia juga amat berterima kasih kepada Menteri Besar Pahang yang banyak menyokong perjalanan muziknya dengan menjemput Endang membuat persembahan pada majlis-majlis yang beliau hadiri dari tahun 2008 hingga 2011.
Endang kini ingin memperluaskan dunia muziknya dengan mencari peluang untuk mengadakan persembahan pada sebarang majlis yang diadakan oleh orang perseorangan, majlis perkahwinan, persatuan, badan korporat dan sebagainya.
Kepada mereka yang ingin menjemputnya untuk mengadakan persembahan atau ingin mengikuti akademi muziknya boleh menghubungi 017-3213360.