Kalau dah jodoh tak kemana, ikan di laut asam di darat di dalam belanga bertemu juga.
Bercerita soal jodoh, sebuah video perkahwinan satu pasangan dari Sumatra, Indonesia yang dimuat naik oleh Berita Total di laman Youtube menjadi berita gempar sejak minggu lalu.
Apa yang menjadikan video itu hangat diperkatakan adalah kerana kisah cinta luar biasa mengenai Slamet, remaja lelaki berumur 16 tahun dengan Rohaya, seorang wanita berusia 71 tahun.
Penyatuan dua hati ini bagaimanapun bukan semudah disangka kerana perkahwinan pasangan ini mendapat tentangan hebat dari kedua-dua keluarga atas alasan jurang perbezaan umur yang sangat jauh di antara mereka berdua.
Namun akhirnya kedua-dua keluarga terpaksa akur selepas mereka mengugut untuk membunuh diri jika tidak mendapat restu untuk berkahwin.
Selepas hampir dua minggu bergelar pasangan suami isteri, kisah Slamet dan Rohaya sekali lagi menjadi perhatian ramai.
Baru-baru ini Slamet telah ditemubual oleh wartawan Detik dan dia ada berkongsi serba sedikit tentang kisah kehidupannya bersama isteri. Remaja 16 tahun itu memberitahu bahawa dia seorang yang kuat cemburu sehingga sanggup mengunci isterinya dari luar setiap kali dia keluar rumah.
"Ya, saya mengunci dia kerana saya takut orang lain akan masuk rumah ketika saya keluar membeli mi atau rokok. Tetapi apabila saya pulang, saya akan membuka pintu" kata Slamet.
Pasangan pengantin baru itu kini sedang berbulan madu di Palembang, Indonesia dan mereka juga berhasrat untuk mempunyai seorang cahaya mata jika ada rezeki.
Pasti ada yang cemburu membaca kisah cinta pasangan yang bagaikan Romeo dan Juliet ini kan? Sesungguhnya jurang usia bukanlah ukuran sebenar setiap kebahagiaan. Semoga pasangan ini kekal bahagia hingga Jannah. - CARI
|