Kokain, metadon, ekstasi, opium dan alkohol. Itulah campuran dadah yang ditemui dan dinyatakan dalam laporan terbaru koroner yang dikeluarkan pada Isnin.
Kandungan dadah berkenaan ditemui apabila Carrie Fisher mengalami serangan jantung.
Foto: Variety/SHUTTERSTOCK
Hasil ujian mendapati kemungkinan pendedahan kepada heroin yang mungkin menyekat pernafasannya ketika diserang sakit jantung. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan jumlah dos dan waktu ia diambil.
Menurut laporan itu, Carrie mengambil kokain seawal tiga hari sebelum diserang sakit jantung, menyebabkan pasukan perubatan sukar mengenal pasti punca sebenar kematiannya.
Selain mengalami penyakit gangguan tidur (Sleep Apnea), laporan itu turut menyebut beberapa faktor lain yang menyebabkan kematiannya seperti penyakit jantung dan penggunaan dadah.
Memetik Los Angeles Times, anak perempuan Carrie, Billie Lourd membuat kenyataan kepada majalah People berhubung kematian ibunya yang berkaitan dengan penggunaan dadah.
"Ibu saya bertarung dengan ketagihan dadah dan penyakit mental sepanjang hidupnya, akhirnya dia pergi juga" katanya.
Menerusi laporan itu, selain mempunyai sejarah menghidap penyakit bipolar, Carrie juga sudah lama terbabit penggunaan ubat-ubatan.
Selain daripada dadah terlarang, Carrie juga diberi preskripsi Prozac, Abilify dan Lamictal.
Foto: IMDb
'Puteri Leia' itu menghembuskan nafas terakhirnya pada 27 Disember tahun lalu. - CARI |