Edited by Themilo at 26-11-2017 12:28 AM
Aktres Zarina Zainuddin dalam sebuah temubual terkini menceritakan pengalaman bagaimana dia terpaksa meleraikan pergaduhan antara dua anaknya, Muhammad Razil Azrail (Azil) dan Muhammad Raizal Azrai (Azal), 21, dengan menghubungi pihak polis. Kejadian tersebut berlaku di rumah mereka dan kedua beradik itu bergaduh dengan bersenjatakan pisau tajam. "Pernah satu masa mereka (Azil dan Azal) bergaduh sampai bawa pisau naik bilik. Jadi, ketika itu saya terpaksa panggil pihak polis untuk meleraikan keadaan," katanya kepada Datuk Siti Nurhaliza menerusi wawancara dalam rancangan terbaru, Inspirasi Taqwa. Malah beberapa tahun lalu ketika dalam persiapan menyambut Aidilfitri, Azil pernah hilang di sebuah pusat membeli-belah sehingga menimbulkan suasana huru-hara. "Kami sedang mencari baju raya ketika itu tiba-tiba Azil hilang. Cari punya cari sampai pusat beli-belah itu tutup rupa-rupanya dia berada di dalam bilik persalinan sambil membelek surat khabar. Mendengar suara saya barulah dia mahu buka pintu," dedah Zarina kepada Siti. Tambah Zarina lagi, kedua-dua anaknya itu pada asalnya adalah normal meskipun dilahirkan tidak cukup bulan. Bagaimanapun beliau mula menyedari mereka mempunyai masalah Autisme selepas tiga tahun dilahirkan. Susulan itu Zarina mengambil keputusan untuk menghentikan kerjaya lakonannya seketika demi memberi tumpuan kepada pendidikan Azil dan Azal. Inspirasi Taqwa bersiaran setiap hari Rabu, jam 7.30 malam di saluran Astro Oasis.
|