|
http://www.hmetro.com.my/node/226944#cxrecs_s
Petaling Jaya: Bom mortar dipercayai digunakan untuk tujuan latihan ditemui penduduk di Blok D Kediaman Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Kelana Jaya, hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya,Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, pihaknya menerima laporan penduduk di kawasan perumahan itu, pada kira-kira 8 pagi.
Menurutnya, sebaik menerima laporan itu, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Balai Polis Kelana Jaya dan Unit Pengesan Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Bom berkenaan ditemui di sebelah meter air di depan unit rumah di tingkat 11 blok itu. Semua penghuni di blok kediaman itu diarahkan untuk mengosongkan unit masing-masing dengan segera.
"Selepas dibuat pemeriksaan awal, bom itu dibawa ke IPK Selangor untuk siasatan lanjut. Belum dapat disahkan sama ada ia masih aktif atau palsu," katanya.
Tinjauan Harian Metro di lokasi kejadian mendapati semua penghuni dibenarkan memasuki rumah masing-masing pada 11. 10 pagi.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2017 @ 12:35 PM |
|