KUALA LUMPUR: Selepas dua dekad, kumpulan rock alternatif dan grunge, Dead Mushroom, kembali menghangatkan persada seni hiburan tanah air.
Sebagai permulaan, kumpulan dianggotai lima pemuzik itu kini rancak menjayakan sesi jelajah Haluanku 2017.
Dua lokasi pertama disinggahi kumpulan berkenaan ialah Blackbox Publika, di sini, dan Mall of Medini, Johor Bahru, masing-masing pada 11 serta 18 Mac lalu.
Serentak dengan siri jelajah berkenaan, kumpulan yang turut dianggotai pelakon, Rashidi Ishak, ini sempat mempromosikan album EP mereka berjudul Superock.
"Kemunculan semula Dead Mushroom sebenarnya bermula sejak hujung tahun lalu lagi apabila kami diundang menjayakan persembahan di sebuah lokasi.
"Ketika itu, peminat mula tercari-cari dan bertanyakan mengenai kumpulan ini yang dilihat seperti menghilang. Dari situ saya dan anggota lain terfikir, kenapa tidak kami kembali mengubati kerinduan mereka?
"Setakat ini, ada 12 lokasi yang akan kami lawati di serata negara. Siri jelajah ini dilaksanakan tanpa sokongan penaja.
"Tetapi, pendekatan yang kami ambil adalah dengan mendekati premis hiburan yang ingin menawarkan lokasi persembahan dan dari situ, keuntungan dibahagi menerusi jualan tiket," kata Rashidi kepada BH Online.
Kata Rashidi lagi, Dead Mushroom, yang ditubuhkan sejak 1995, bukanlah menghilang begitu saja.
"Kami masih menjayakan persembahan kecil-kecilan sebenarnya. Malah, pada 2013 kami menghasilkan enam lagu berjudul Haluanku, Erti, Aku Ada Kamu, Terima Kasih, Nowhere dan Have You? Lagu itu kami terbitkan sendiri dan dirakamkan di sebuah studio di Taman Tun Dr Ismail.
"Empat anggota kumpulan ini pun masih orang sama. Cuma, hanya pemain bes yang bertukar," kata suami pelakon, Vanidah Imran, itu yang turut bertindak sebagai pemain gitar kumpulan berkenaan.