Siapa yang tidak sebak dan terharu dapat bertemu kembali dengan kenalan lama terutama yang rapat dan banyak membantu kita. Begitu juga dengan pelakon lagenda Jackie Chan (JC). Selepas 40 tahun tidak bersua muka, JC menitiskan air mata sebaik sahaja bertemu semula dengan kumpulan lagak ngerinya.
Sebuah video yang dikongsi oleh seorang pengguna Facebook, Jared WanFeng Ti, memaparkan satu program khas di mana JC dijemput sebagai tetamu khas sementara tanpa pengetahuannya, kru produksi membawa anggota JC Stunt Team ke pentas sebagai kejutan untuk JC.
Ketika menonton satu tayangan video temubual antara kumpulan berkenaan, dilihat air muka JC berubah sedih. Di pertengahan tayangan itu, pengacara bertanya jika JC merindukan mereka.
Menjawab soalan itu, JC bercerita mengenai pengalamannya bersama ahli kumpulan lagak ngeri berkenaan.
“Selama 40 tahun kami bersusah payah bersama. Tiada siapa tahu kecederaan yang kami alami dan kadang-kadang terpaksa bergegas ke hospital pada jam 5 atau 6 pagi.
"Anugerah Oscar yang saya terima baru-baru ini adalah kemenangan kami bersama.
"Sehingga hari ini, kami berjaya menempa nama sendiri atas segala jerih perih dialami.
"Kumpulan lagak ngeri JC hari ini adalah kumpulan generasi yang ketujuh dan seperti yang anda lihat kami semua semakin berusia..." kata JC sambil menoleh ke belakang.
Namun, alangkah terkejutnya JC apabila mendapati 'keluarga lamanya' turut hadir dalam program itu, sekali gus membuat dia terus meluru untuk memeluk mereka sambil menangis.
Foto: Facebook Jared WanFeng Ti
Sehingga kini video itu mendapat hampir sembilan juta tontonan dan hampir 170 ribu perkongsian. - CARI |