|
Debaran malam kemuncak program realiti, Duo Star, malam tadi sudahpun berakhir. Pada malam acara itu, pasangan Syamel dan Ernie Zakri berjaya membuktikan diri mereka adalah peserta terbaik apabila dinobatkan sebagai juara Duo Star.
Tampil dengan lagu Balqis nyanyian asal Datuk Siti Nurhaliza dan Kau Lupa Janji nyanyian asal Datuk Jamal Abdillah, pasangan itu berjaya meraih trofi berserta wang tunai berjumlah RM100,000.
Foto: IG Syamel
Manakala, pasangan Kaka Azraff dan Awi Rafael menyandang tempat kedua, sekali gus membawa pulang trofi berserta hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 sementara Haiza dan Aepul di tangga ketiga dengan trofi serta wang tunai RM25,000.
Dalam masa sama, pasangan Ayai dan Firman yang menduduki tempat keempat juga membawa pulang trofi selain menerima wang tunai sebanyak RM10,000.
Menurut BH Online, Syamel, 24, berharap dia mampu untuk terus mencipta kejayaan sebagai seorang penyanyi.
"Harapan saya selepas ini adalah untuk terus menstabilkan kerjaya sebagai seorang penyanyi. Pertandingan ini juga diharap menjadi medan untuk saya terus mendaki tangga kejayaan sebagai seorang legenda," katanya kepada BH Online.
Foto: IG Ernie
Sementara itu, Ernie, 25, menyifatkan kemenangan itu sebagai hadiah atau ganjaran atas segala titik peluh mereka keluarkan.
"Saya bersyukur kerana Syamel menjadi pasangan duet saya kerana dia bukan saja berbakat besar, malah tahu apa yang perlu dilakukan dalam program sebegitu sehingga membuatkan kerja kami menjadi mudah dan nampak serasi," katanya.
Tahniah diucapkan kepada semua pemenang. Semoga mereka semua termasuk artis tanah air lain terus berjaya kelak. - CARI |
|